120 Pelajar DUN Muara Tuang Terima Sumbangan Pendidikan Berjumlah RM48,700
KOTA SAMARAHAN: Seramai 120 pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang menerima sumbangan pendidikan berjumlah RM48,700 bagi membantu meringankan beban kewangan mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Sumbangan tersebut disampaikan Timbalan Speaker DUN Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Dato’ Idris Buang melalui Pusat Khidmat DUN Muara Tuang di Dewan Suarah Kota Samarahan, pada Jumaat.
Dato’ Idris semasa berucap berkata, pendidikan dan ilmu pengetahuan merupakan asas penting dalam membentuk masa depan generasi muda serta membolehkan mereka menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negeri.
“Sebelum kita dapat berbuat apa-apa dalam dunia ini, yang paling penting adalah ilmu. Jadi, teruslah mencari ilmu dan jangan pernah berhenti belajar,” katanya.
Beliau turut berpesan agar pelajar sentiasa merendah diri, menghormati ibu bapa dan guru serta menggunakan masa dengan sebaik-baiknya.
Dato Idris menambah, bantuan tersebut mungkin tidak besar namun diharapkan dapat membantu meringankan sedikit beban pelajar dan keluarga. -EDISI UKAS