Sarawak Delta Perkukuh Jalinan Antarabangsa Melalui Kerjasama Geopark Borneo
LANGKAWI: Sarawak Delta UNESCO Global Geopark (UGGp) terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh jaringan antarabangsa apabila memeterai kerjasama strategik bersama Meratus UNESCO Global Geopark (Indonesia) menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), pada Selasa.
Kerjasama berkenaan menjadi yang pertama dimeterai oleh Sarawak Delta UGGp dengan geopark luar negara sejak memperoleh pengiktirafan UNESCO pada 24 April 2026, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa pemuliharaan warisan dan pembangunan mampan di peringkat serantau.
Sarawak Delta UGGp yang terletak di Malaysia dan Meratus UGGp di Kalimantan Selatan, Indonesia, masing-masing merupakan geopark yang diiktiraf di bawah rangkaian UNESCO Global Geopark, dengan Meratus menerima pengiktirafan tersebut lebih awal pada 17 April 2025.
Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan dua hala berasaskan prinsip saling menghormati, kesaksamaan dan perkongsian manfaat, sejajar dengan aspirasi UNESCO dalam memperluas kolaborasi global.
Inisiatif yang dirangka merangkumi pelbagai bidang termasuk pemuliharaan warisan, pemerkasaan komuniti, pelancongan lestari, pendidikan dan latihan serta penyelidikan, dengan pelaksanaan secara berperingkat mengikut keutamaan dan keupayaan masing-masing.
Sarawak Delta UGGp diwakili oleh Irmadiana Ardi bagi pihak Pengarah Jabatan Hutan Sarawak merangkap Pengurus Sarawak Delta UGGp, Datu Hamden Mohammad, manakala Meratus UGGp diwakili Ketua Jabatan Pelancongan Kalimantan Selatan, Iwan Fitriady yang mewakili Lembaga Pengurusan Geopark berkenaan.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Julin Alen.
Kerjasama strategik ini dijangka membuka lebih banyak peluang kepada kedua-dua wilayah dalam memperkukuh kapasiti pengurusan geopark serta memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat melalui perkongsian kepakaran dan amalan terbaik.-EDISI UKAS