Hospital Lawas Baharu Perkasa Perkhidmatan Kesihatan, Manfaat Rakyat Utara Sarawak
LAWAS: Hospital Lawas baharu berkapasiti 76 katil memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan di Lawas dan kawasan utara Sarawak, selain menyediakan kemudahan lebih selamat, selesa dan kondusif kepada masyarakat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kemudahan tersebut perlu terus diperkasa dengan penambahan fasiliti dan peralatan perubatan selaras dengan keperluan semasa serta perkembangan kawasan.
Menurut beliau, kemudahan seperti mesin CT Scan dan kuarters untuk petugas kesihatan perlu diberi perhatian bagi menyokong pengoperasian hospital serta meningkatkan keupayaan perkhidmatan kesihatan.
“Kalau boleh dengan kemudahan-kemudahan yang ada, fasiliti di sini boleh ditingkatkan lagi sebagai hospital pakar. Ini harus kita rancang sesuai dengan perkembangan dan keperluan ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Siap Cadangan Pembinaan Hospital Lawas (76 Katil) Lawas, Sarawak (Reka dan Bina) Fasa 2B: Kerja Bangunan dan Kerja-Kerja Berkaitan Tender Semula di Hospital Lawas, di sini pada Isnin.
Tambah beliau, perancangan pembangunan kemudahan kesihatan perlu mengambil kira faktor geografi, populasi dan jaringan perhubungan bagi memastikan penduduk mendapat akses kesihatan yang sewajarnya.
Datuk Amar Awang Tengah turut menyambut baik reka bentuk Hospital Lawas turut mengambil kira aspek pemulihan dan keselesaan pesakit dengan penyediaan ruang hijau, taman, tanaman bunga serta kemudahan refleksologi, selain kemudahan digital dan peralatan perubatan yang lebih lengkap.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Dato Hanifah Hajar Taib berkata, pengukuhan perkhidmatan kesihatan di Lawas amat penting mengambil kira faktor geografi yang menyebabkan pesakit perlu mengambil masa kira-kira satu jam setengah ke Limbang dan sekitar tiga jam setengah ke Miri melalui laluan tertentu.
Pada 2025, Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Lawas menerima 14,083 pesakit, manakala 693 pesakit dipindahkan ke hospital lain, masing-masing 440 ke Limbang, 151 ke Miri dan 102 ke Kota Kinabalu.
Beliau berkata, pengisian jawatan di hospital berkenaan akan terus ditambah baik mengikut ketersediaan sumber manusia, dengan harapan doktor pakar dapat ditempatkan secara tetap di Hospital Lawas pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Menteri Kerja Raya Malaysia, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, penyiapan projek Hospital Lawas mencerminkan komitmen Kerajaan dalam menyediakan infrastruktur awam yang memenuhi keperluan rakyat.
Menurut beliau, projek berkenaan melalui perjalanan pelaksanaan yang panjang sebelum dapat disiapkan dan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk kegunaan masyarakat.
Beliau turut menekankan kepentingan integriti, keselamatan dan pemantauan dalam pelaksanaan projek pembangunan bagi memastikan kemudahan yang disediakan memenuhi spesifikasi serta memberi manfaat kepada rakyat.
Turut hadir, isteri Datuk Amar Awang Tengah, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah, Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, ADUN Batu Danau, Dato Paulus Gumbang dan ADUN Ba’kelalan, Baru Bian.-EDISI UKAS