Biro Pendidikan DUN Satok Rintis Percubaan Pra UP-DLP, Libatkan 187 Murid Tahun Enam
KUCHING: Seramai 187 murid Tahun Enam dari tiga sekolah rendah di kawasan DUN N8 Satok menyertai Percubaan Pra Ujian Penilaian Dual Language Programme (UP-DLP), sebagai persediaan meningkatkan penguasaan mereka dalam mata pelajaran Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.
Program rintis anjuran Biro Pendidikan DUN N8 Satok itu melibatkan 74 murid dari SK Merpati Jepang, 64 murid dari SK Rakyat Haji Bolhassan dan 49 murid dari SK Combined.
Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki berkata, ujian percubaan berkenaan memberi peluang kepada murid untuk membuat persediaan awal selain membiasakan diri dengan suasana penilaian sebenar.
“Bila kita hendak menghadapi peperiksaan, kita mesti bersedia dan yakin. Semangat mesti ada. Walaupun ini merupakan peperiksaan percubaan atau trial, anggaplah ia seperti peperiksaan sebenar supaya kita dapat membuat persediaan yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke program tersebut di Dewan Datu Merpati Jepang, Jalan Patinggi Ali di sini pada Khamis.
Datuk Ibrahim turut menekankan kepentingan penguasaan Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris yang berkait rapat dengan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sekali gus menjadi asas penting kepada perkembangan akademik murid pada masa hadapan.
Menurutnya, murid perlu sentiasa rajin belajar serta tidak takut bertanya kepada guru sekiranya menghadapi kesukaran dalam pembelajaran.
“Yang penting untuk masa depan kita, kita mesti rajin belajar dan rajin bertanya. Kalau ada masalah, jangan takut untuk bertanya kerana kita akan cuba membantu,” katanya.
Tambah beliau, pencapaian akademik yang baik mampu membuka lebih banyak peluang kepada murid untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, sejajar dengan perhatian Kerajaan Sarawak terhadap pembangunan pendidikan dan bakat generasi muda.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Biro Pendidikan DUN N8 Satok merangkap Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Haji Abdul Samat Gany, pihak sekolah, guru serta tenaga berpengalaman yang terlibat dalam penyediaan kertas soalan bagi program tersebut.
Sementara itu, Percubaan Pra UP-DLP berkenaan merupakan projek rintis Biro Pendidikan DUN N8 Satok bagi mengenal pasti tahap penguasaan murid dalam Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.
Keputusan ujian itu boleh dijadikan penanda aras untuk membantu pihak sekolah dan Biro Pendidikan DUN N8 Satok merancang program susulan serta intervensi akademik yang lebih bersasar, khususnya bagi murid yang memerlukan sokongan tambahan.
Bagi memastikan kualiti soalan, tiga sesi libat urus dan bengkel telah diadakan melibatkan guru besar, guru pakar mata pelajaran, penggubal soalan serta pemeriksa kertas peperiksaan berpengalaman.
Turut hadir, Guru Besar SK Merpati Jepang, Hasim Sebli dan Ketua Belia 1828 DUN Satok, Muhammad Zhariff Azahari.-EDISI UKAS