RM1.395 Juta Projek RTP Perkukuh Infrastruktur Tujuh Kawasan DUN Opar
LUNDU: Tujuh kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar bakal menikmati kemudahan infrastruktur lebih baik menerusi pelaksanaan tujuh projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai keseluruhan RM1.395 juta.
Projek melibatkan naik taraf jalan pertanian, benteng tebing sungai, sistem perparitan dan pembentung yang kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan termasuk lawatan tapak pertama, pemeriksaan akhir serta penyerahan projek siap.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang mengetuai lawatan ke lokasi projek pada Rabu bagi meninjau kemajuan pelaksanaan serta memastikan setiap projek memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Di Kampung Bokah, beliau meninjau pemeriksaan akhir Projek Naik Taraf Jalan Pertanian Punggu Penoak Fasa 2 bernilai RM150,000 sebelum meneruskan lawatan ke Kampung Raso 1 bagi Projek Naik Taraf Benteng Tebing Sungai bernilai RM180,000.
Lawatan diteruskan ke Kampung Raso 2 bagi Projek Naik Taraf Jalan Pertanian bernilai RM350,000 yang berada pada peringkat lawatan tapak pertama.
Di Kampung Pasir Hulu, Projek Naik Taraf Titian Kayu kepada Box Culvert Konkrit di Jalan Bedaun bernilai RM65,000 pula berada pada peringkat penyerahan projek.
Billy turut meninjau pemeriksaan akhir Projek Naik Taraf Jalan Pertanian Jalan Samanar di Kampung Pasir Tengah melibatkan peruntukan RM150,000.
Sementara itu, Projek Naik Taraf Sistem Perparitan Fasa 1 bernilai RM350,000 di Kampung Tebaro berada pada peringkat penyerahan, manakala Projek Naik Taraf Sistem Perparitan Kampung Semapu bernilai RM150,000 melalui lawatan tapak pertama.
Pelaksanaan projek berkenaan merupakan antara usaha meningkatkan kemudahan asas dan infrastruktur luar bandar, selain memastikan masyarakat setempat mendapat manfaat daripada pembangunan yang dilaksanakan.
Lawatan tersebut turut membolehkan pihak berkaitan menilai keadaan sebenar di lapangan, menyelaras keperluan teknikal bagi projek yang bakal dimulakan serta memastikan projek siap berada dalam keadaan baik sebelum diserahkan untuk kegunaan masyarakat.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Niponi Undek, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Lundu, Mohd Syafiie Ahmad, wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Kuching, Ozella Mireng, Pemanca Allen Manium Enggang. -EDISI UKAS