Lebih RM769,000 RTP Perkukuh Infrastruktur DUN Opar
LUNDU: Kemudahan jalan dan infrastruktur komuniti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar terus dipertingkat menerusi pelaksanaan dua projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan peruntukan keseluruhan lebih RM769,000.
Projek pertama melibatkan kerja baik pulih jalan utama dalam Kampung Pasir Tengah bernilai RM499,941.33 yang dilaksanakan oleh Syarikat Eka Maju.
Skop projek merangkumi kerja menurap semula jalan utama selebar 4.5 meter sepanjang kira-kira 900 meter serta pemasangan sebuah pembetung berukuran 1,200 milimeter.
Projek berkenaan bermula pada 7 September 2026 dan dijadualkan siap pada 22 Februari 2027.
Sementara itu, projek kedua melibatkan pembinaan Balairaya dan Bilik Gerakan Kampung Sebako 2 bernilai RM269,999.77 yang dilaksanakan oleh Dayang Raniah Resources.
Projek tersebut merangkumi pembinaan sebuah balairaya berukuran 8.3 meter kali 11 meter dengan tempoh pelaksanaan selama lima bulan, bermula 1 September 2026 dan dijangka siap pada 17 Februari 2027.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, kedua-dua projek itu perlu dilaksanakan dengan baik menepati spesifikasi dan skop kerja yang ditetapkan serta disiapkan dalam tempoh diperuntukkan.
Beliau turut menegaskan agar agensi pelaksana bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sentiasa memantau perkembangan projek bagi memastikan kualiti kerja terjamin dan kemudahan yang disediakan memberi manfaat maksimum kepada masyarakat setempat.
Pelaksanaan dua projek RTP itu dijangka menyediakan jaringan jalan yang lebih selesa dan selamat kepada penduduk Kampung Pasir Tengah, selain menyediakan kemudahan komuniti yang lebih kondusif untuk penduduk Kampung Sebako 2.
Turut hadir, Pegawai Tadbir Mohd Syafiie Ahmad, Albert Amit dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Lundu, Penghulu Kutong Engang, KK David Merson, KK Normin Sujang, KK Anil Basuni, Kaunselor Samuel Achat, Kaunselor Mostapha Adam Galau, Kaunselor Jackson Angit, Kaunselor Salim Dadang dan ahli-ahli JKKK kampung terlibat.-EDISI UKAS