Loji Rawatan Air Baharu Engkilili Dijangka Siap Mei 2028
SRI AMAN: Kapasiti sistem bekalan air di Bahagian Sri Aman bakal dipertingkat menerusi pembinaan Loji Rawatan Air Baharu Engkilili bernilai RM312.97 juta yang mampu menghasilkan sehingga 75 juta liter air terawat sehari apabila siap kelak.
Projek yang mula dilaksanakan pada Mei 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2028 itu dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dengan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak sebagai agensi pelaksana.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek berkenaan merupakan antara inisiatif penting Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh sistem bekalan air, khususnya bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di Sri Aman dan kawasan sekitarnya.
Menurutnya, loji baharu berkapasiti 75 juta liter sehari itu bukan sahaja akan meningkatkan pengeluaran air terawat, malah memperkukuh sistem sokongan kepada Loji Rawatan Air Bayai.
“Penyediaan bekalan air bersih dan terawat merupakan antara keutamaan Kerajaan Sarawak dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Bekalan air bukan sahaja merupakan keperluan asas harian, malah menjadi pemangkin penting kepada pembangunan ekonomi, kesihatan awam serta kualiti hidup masyarakat,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek Pembinaan Loji Rawatan Air Baharu Engkilili pada Jumaat.
Beliau menambah, pemantauan rapi terhadap kemajuan projek akan terus dilaksanakan bagi memastikan projek bekalan air yang sedang dibangunkan dapat disiapkan mengikut tempoh dan perancangan ditetapkan.
Katanya, kerjasama erat antara kementerian, agensi pelaksana, kontraktor, perunding dan semua pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar serta mencapai objektifnya.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak merangkap ADUN Batang Ai, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, pelbagai teknologi dan pendekatan terbaik perlu terus diterokai bagi memastikan bekalan air bersih dapat disediakan kepada seluruh masyarakat.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya bersama-sama menjaga kebersihan sungai dan sumber air sebagai tanggungjawab bersama demi memastikan kelestarian sumber berkenaan untuk generasi akan datang.
“Dengan adanya projek ini, diharapkan semua penduduk dapat merasai manfaat bekalan air bersih dan terawat,” katanya.
Sementara itu, ADUN Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa berharap JBALB dan pihak kontraktor memastikan pelaksanaan projek dilakukan dengan teliti serta mengikut jadual dan piawaian ditetapkan.
“Loji yang siap tanpa rangkaian agihan yang lengkap tidak akan memberikan impak yang diharapkan oleh rakyat,” katanya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi, ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datu Jafri Lias, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU), Datu Ir. Ts. Awg. Mohammad Fadillah Awg. Redzuan, Pemangku Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB), Ir. Ts. Tamida Da’adi, ketua-ketua jabatan, ketua masyarakat dan ketua kaum.-EDISI UKAS