LUNDU: Usaha meningkatkan kemudahan asas penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar terus diberi perhatian menerusi perancangan menaik taraf kemudahan dewan, menurap jalan dari rumah ke rumah serta memasang lampu di kawasan kampung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang semasa berucap pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Zon 13 Sebandi di Kamlung Senibong pada Jumaat berkata, antara pembangunan yang dirancang termasuk penyusunan semula pembangunan dewan di Kampung Bukit Papan dan Sebandi Hulu.
Menurutnya, kerja-kerja menurap jalan dari rumah ke rumah pula dijadualkan dilaksanakan pada Oktober 2026 bagi meningkatkan kemudahan asas dan keselesaan penduduk.
Beliau berkata, pemasangan lampu di kawasan kampung pula akan dilaksanakan menerusi agensi pelaksana, Majlis Daerah Lundu (MDL).
Dalam pada itu, katanya, masih terdapat kemudahan dewan yang memerlukan kerja naik taraf dengan anggaran keperluan peruntukan antara RM300,000 hingga RM400,000.
Bercakap mengenai program CSR, Billy berkata, penganjuran program seumpama itu memberi banyak manfaat kerana mampu menyantuni masyarakat daripada pelbagai peringkat serta memahami keperluan mereka dengan lebih dekat.
Dalam program itu, beliau turut menyampaikan bakul makanan kepada 45 penerima dari kampung-kampung dalam Zon 13 Sebandi.
Turut hadir, Setiausaha Majlis Daerah Lundu Wan Fauzi Wan Ismail, Pengerusi Zon 13 Sebandi Kaunselor Juyen Raper dan Ketua Kaum Kampung Sebandi Jamnekel Jauhari. -EDISI UKAS