Jambatan Rambungan Dijangka Siap Suku Keempat 2027
SAMPADI: Pembinaan Jambatan Rambungan yang dijadual siap pada suku keempat 2027 bakal memperkukuh hubungan antara kawasan sekitar Sampadi, Lundu dan Sematan, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada pembangunan ekonomi serta pelancongan setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, kesinambungan projek berkenaan oleh Kerajaan Sarawak memberi harapan baharu kepada komuniti setempat selepas pembinaan jambatan itu sebelum ini dibatalkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, manfaat daripada pembangunan jambatan tersebut wajar disokong dengan kemudahan ekonomi dan pelancongan bagi memaksimumkan potensi kawasan sekitarnya.
“Besar juga harapan saya mewakili komuniti di Zon Sampadi supaya satu pusat penjaja dan juga marina dapat dibina di sekitar kawasan jambatan tersebut sebagai satu projek selingan yang dapat meningkatkan peluang ekonomi serta tarikan pelancongan di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penangguhan Regatta Batang Kayan 2026, di sini pada Ahad.
Hadir menyempurnakan majlis berkenaan ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Azizul yang juga Penaung Bersama Jawatankuasa Induk Regattan Batang Kayan Lundu 2026 menambah, pembinaan Jambatan Rambungan merupakan antara projek penting yang mampu memberikan kesan jangka panjang kepada penduduk, khususnya dari aspek hubungan, aktiviti ekonomi dan potensi pelancongan. -EDISI UKAS