![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
SIMUNJAN: Pemantauan terhadap projek tebatan banjir dan hakisan dipergiat bagi memastikan kerja-kerja infrastruktur berkaitan keselamatan penduduk di Simunjan dapat dilaksanakan mengikut perancangan, terutama menjelang musim hujan.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, status pelaksanaan projek perlu dipantau secara dekat bagi memastikan sebarang isu yang boleh menjejaskan kemajuan kerja dapat dikenal pasti dan ditangani segera.
Sehubungan itu, beliau turun padang meninjau perkembangan dua projek utama iaitu Projek Penahan Hakisan Tebingan Sungai di Kampung Sageng dan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Simunjan Fasa 1, di sini pada Selasa.
Projek Penahan Hakisan Tebingan Sungai di Kampung Sageng yang diperuntukkan RM40.8 juta melibatkan pembinaan struktur perlindungan tebing sungai sepanjang 968 meter bagi mengurangkan ancaman hakisan terhadap kawasan berhampiran, termasuk penempatan penduduk.
Bagaimanapun, berdasarkan status pada 25 September 2026, kemajuan projek tersebut baru mencapai 24.95 peratus berbanding 68.77 peratus yang ditetapkan mengikut jadual asal.
Antara faktor yang mempengaruhi kemajuan projek ialah keperluan membuat pelarasan dan perubahan teknikal selepas mengambil kira keadaan sebenar sungai yang dikenal pasti sepanjang proses pembinaan.
Bagi menangani kelewatan berkenaan, Rodiyah meminta kontraktor menyediakan pelan pemulihan atau ‘catch-up plan’ yang jelas dan berkesan bagi meningkatkan kadar pelaksanaan serta mengelakkan tempoh projek terus terjejas.
Beliau kemudiannya meninjau tapak RTB Simunjan Fasa 1 yang menelan kos RM22.34 juta dan merangkumi peningkatan sistem perparitan, penyediaan kolam takungan, kerja mendalamkan Sungai Kelka, pemasangan pintu kawalan pasang surut serta pembinaan struktur tebatan banjir.
Sehingga 25 September 2026, projek berkenaan telah mencapai 70.09 peratus dan dijangka siap pada April 2027, tertakluk kepada keputusan berkaitan lanjutan masa.
Rodiyah turut meminta kerja-kerja yang masih berbaki diberi keutamaan dan dipercepatkan bagi memastikan manfaat projek dapat dinikmati penduduk dalam tempoh ditetapkan.
Beliau menegaskan tindakan sewajarnya perlu diambil oleh semua pihak berkaitan memandangkan risiko banjir menjadi antara kebimbangan penduduk Simunjan apabila memasuki penghujung tahun.
Turut menyertai lawatan ialah Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad. -EDISI UKAS