SJK Chung Hua Betong Jadi Perintis 'AI Classroom' Pertama Di Sarawak
KUALA LUMPUR: Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Betong bakal menjadi sekolah perintis pelaksanaan 'AI Classroom' pertama di Sarawak, sekali gus membuka peluang kepada murid luar bandar mendapat pendedahan kepada teknologi dan kaedah pembelajaran terkini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, sebuah bilik di sekolah berkenaan kini sedang diubah suai untuk dijadikan AI Classroom menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Samsung Malaysia.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, kemudahan berkenaan merupakan 'AI Classroom' pertama di Sarawak dan antara tiga yang diwujudkan di Malaysia.
“Ini memberi satu lagi peluang untuk anak luar bandar belajar menggunakan cara-cara terbaru, teknologi dan sebagainya.
“Kita harapkan ini boleh jadi contoh dan dapat diamalkan di tempat-tempat lain di Sarawak, sekolah-sekolah lain di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada UKAS semasa mengadakan lawatan penanda aras teknologi ke Samsung Malaysia di sini pada Rabu.
Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dzulkornain Masron, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak, Mu’azamir Jili, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Ketua Pegawai Operasi Samsung Malaysia, Gabzel Kim, Ketua Bahagian MX (Peranti Mudah Alih), Jack Lim, Ketua Bahagian Penyelesaian Paparan, Wong Chung Hau, Ketua Bahagian Penyaman Udara, Chew dan Pengurus Kanan Bahagian Penyaman Udara, Vincent Looi.
Datuk Gerald menambah, kemudahan berkenaan dijangka dapat dimanfaatkan murid bermula Tahun Tiga ke atas sebagai pendedahan awal kepada penggunaan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) dalam pembelajaran.
Katanya, pendekatan itu juga dapat membantu menyediakan asas pembelajaran kepada murid untuk meneruskan pendidikan dalam persekitaran yang semakin berteraskan teknologi pada masa hadapan.
Beliau berharap pelaksanaan 'AI Classroom' di Betong dapat menjadi model perintis yang kemudiannya diperluaskan ke sekolah-sekolah lain di seluruh Sarawak.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Samsung Malaysia atas pelaksanaan inisiatif berkenaan sebagai sebahagian daripada program CSR syarikat tersebut.-EDISI UKAS