KUCHING: Sarawak dan Johor berkongsi pengalaman serta pendekatan dalam memperkukuh agenda transformasi digital menerusi sesi perbincangan strategik antara kedua-dua negeri di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, pada Rabu.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, berkata pertemuan itu menjadi peluang untuk kedua-dua pihak berkongsi pengalaman dan meneroka ruang kerjasama dalam transformasi digital termasuk pendigitalan kerajaan, pembangunan ekosistem digital dan kecerdasan buatan (AI)
“Saya berbesar hati dapat bersama anda semua. Bagi pihak Kerajaan Sarawak, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada delegasi Johor kerana meluangkan masa untuk melawat Sarawak. Kami melihat pertemuan ini sebagai peluang untuk bekerjasama,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada sesi berkenaan.
Datu Hii berkata, Sarawak memberi tumpuan kepada pendekatan kerajaan secara menyeluruh dalam transformasi digital, termasuk cara perkhidmatan awam dilaksanakan serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat melalui kaedah digital.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, berkata kunjungan delegasi Johor bertujuan mempelajari pendekatan Sarawak dalam mengurus serta melaksanakan transformasi digital.
Menurutnya, perkongsian tersebut dapat membantu Johor melihat pendekatan yang sesuai untuk disesuaikan dengan keperluan serta objektif transformasi digital negeri itu.
Sesi berkenaan turut disertai Pengarah Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam (SCSDU) Jabatan Premier Sarawak Datu Grace Huong Siew Hung, Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA) Dato Dr. Anderson Tiong Ing Heng, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) Busiai Seman, Pembantu Eksekutif kepada Ketua Pegawai Eksekutif SAIC Ting Chiong Kit serta pegawai Kerajaan Sarawak.
Delegasi Johor pula terdiri daripada pegawai Pejabat Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor serta pasukan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Johor.-EDISI UKAS