Industri Hidrogen Sudah Dinilai Dari Segi Risiko, Teknologi Baharu Kurangkan Kos Penghasilan
KUCHING: Industri hidrogen di Sarawak telah dinilai dari segi risiko dengan perkembangan teknologi baharu dijangka membantu mengurangkan kos penghasilan hidrogen pada masa hadapan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan sesuatu industri baharu sememangnya mempunyai unsur ketidakpastian dari segi penggunaan, namun risiko berkenaan perlu dinilai sebelum sesuatu keputusan dibuat.
“Perkara yang sama pernah berlaku kepada komputer sebelum ini di mana harga komputer sangat mahal, tetapi hari ini harganya lebih murah kerana teknologi baharu telah diterapkan dalam pengeluaran komputer.
“Jadi, saya fikir perkara yang sama akan berlaku kepada hidrogen kerana kos hidrogen pada masa ini adalah disebabkan oleh kos tenaga iaitu kos elektrolisis agak tinggi.
“Tetapi apabila membran menjadi lebih padat dan kita mempunyai satu kelompok membran, proses menghasilkan hidrogen akan menjadi lebih murah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian ‘Sarawak Corporate Leadership Summit 2026’ di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan media mengenai pandangan seorang penganalisis daripada Global Energy Consulting yang mempersoalkan sama ada inisiatif pembangunan hidrogen Sarawak wajar diteruskan.
Datuk Patinggi Abang Zohari turut mengambil maklum pandangan penganalisis tersebut mengenai pelanggan, sama ada projek tersebut berdaya maju atau tidak namun menegaskan teknologi baharu akan mengurangkan kos sekali gus mampu mengembangkan asas pelanggan.
Ujarnya, perkembangan teknologi membran khususnya dalam proses pemisahan oksigen dan hidrogen berpotensi mengurangkan kos serta penggunaan tenaga.
Kini jelasnya, terdapat beberapa teknologi yang digunakan dalam proses elektrolisis termasuk kaedah alkaline dan ‘Proton Exchange Membrane (PEM)’. -EDISI UKAS