Sambutan Hari Lahir Ke-80 TYT Sarawak Berlangsung 8 Hingga 11 Oktober
KUCHING: Sambutan Hari Kelahiran Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak akan berlangsung selama empat hari dari 8 hingga 11 Oktober 2026, dengan pelbagai pengisian rasmi, keagamaan, adat istiadat dan acara rakyat disusun di sekitar Kuching.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Perayaan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, berkata orang ramai dialu-alukan untuk hadir memeriahkan sambutan tersebut, namun perlu memastikan disiplin dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
“Kita perlu ada disiplin untuk menghadiri upacara yang sebegini. Jadi biarlah kita hadir dalam keadaan yang harmoni, berhemah dan tidak menjejaskan keadaan yang baiklah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Waterfront Hotel, di sini, pada Khamis.
Katanya, sambutan dimulakan dengan Majlis Kesyukuran di Masjid Jamek Sarawak pada 8 Oktober, yang dijangka menghimpunkan 3,000 orang.
Pada 9 Oktober, Khutbah Khas sempena sambutan akan diadakan di seluruh masjid di Sarawak ketika solat Jumaat, diikuti Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain di Kompleks UNIFOR, Kuching, pada jam 8 malam yang dijangka dihadiri 1,000 orang.
Acara kemuncak pada 10 Oktober dimulakan dengan Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa di Padang Merdeka pada jam 8 pagi, membabitkan 106 kontinjen daripada tujuh kategori serta jangkaan kehadiran 5,000 pengunjung.
Pada tengah hari, Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak akan berlangsung di Dewan Istiadat, Astana Negeri Sarawak dengan jangkaan kehadiran 500 orang, sebelum Majlis Jamuan Negeri di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak pada jam 8 malam yang turut dijangka dihadiri 500 orang.
Sementara itu, Konsert Rakyat di Padang Merdeka pada malam 10 Oktober dijangka menjadi antara tarikan utama sambutan dengan sasaran kehadiran 10,000 pengunjung.
Konsert anjuran Majlis Seni Sarawak itu menampilkan artis dari Kuala Lumpur dan Sarawak termasuk Datuk Awie, Aina Abdul dan Floor 88, selain lima artis tempatan.
Pertunjukan bunga api turut dijadualkan sebagai sebahagian daripada pengisian sambutan pada malam berkenaan.
Sambutan kemudiannya diteruskan pada 11 Oktober menerusi Majlis Jamuan Teh di Hotel Pullman Kuching pada jam 10.30 pagi yang dijangka menghimpunkan 700 orang.
Dalam pada itu, kawalan lalu lintas dan penutupan jalan sempena sambutan akan bermula pada 8 Oktober, dengan orang ramai dinasihatkan mengikuti maklumat terkini daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi saluran rasmi.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Syeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Datuk Martin Ben, serta Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS), Datuk Hamdan Sharbini-EDISI UKAS