Pusat Seni Persembahan Sarawak Dijangka Siap Jun 2027, Sedia Warnai Sukan SEA
KUCHING: Pusat Seni Persembahan Sarawak dijangka siap pada Jun tahun hadapan, sekali gus membuka peluang kompleks bersejarah itu menjadi pentas persembahan kebudayaan bagi pengunjung dan ketua-ketua negara ASEAN sempena Sukan SEA 2027.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, projek menaik taraf bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama itu kini mencapai kemajuan 46 peratus dan mendahului jadual sebanyak 1.6 peratus.
Beliau berkata, berdasarkan taklimat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan konsultan, projek berkenaan dijangka siap pada Jun 2027 sekiranya tiada sebarang halangan.
“Memang saya telah diberi taklimat oleh JKR dan konsultan, jika tiada halangan ia dijangka siap pada Jun 2027. Sukan SEA pada September.
“Jadi apabila siap bulan Jun, kita boleh adakan persembahan kebudayaan semasa Sukan SEA untuk menghiburkan pengunjung dan ketua-ketua negara ASEAN yang hadir,” katanya.
Beliau berkata kepada media demikian selepas mengadakan lawatan kerja bagi meninjau perkembangan projek berkenaan di sini pada Jumaat.
Menurut Dato Sri Abdul Karim, sebahagian besar kerja utama yang mencabar telah diselesaikan, manakala pelaksanaan kini tertumpu kepada kerja kemasan dan reka bentuk dalaman.
Katanya, kompleks itu merangkumi tiga komponen utama iaitu pusat seni persembahan, The Old Lapau yang bakal dijadikan restoran serta kawasan bekas air pancut yang akan dinaik taraf sebagai sebahagian daripada pembangunan kompleks berkenaan.
Beliau berkata, kawasan sekitar kompleks itu turut dirancang sebagai taman rakyat bagi menyediakan ruang riadah kepada keluarga.
Dato Sri Abdul Karim turut merakamkan penghargaan kepada JKR Sarawak, konsortium kontraktor dan perunding atas komitmen memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar serta mengekalkan rekod sifar kemalangan di tapak binaan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan serta Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Morshidi Frederick.- EDISI UKAS