Elemen Asal DUN Lama Dikekalkan, Abadikan Sejarah 53 Tahun
KUCHING: Identiti dan nilai sejarah bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama yang berusia 53 tahun akan terus dipelihara dalam transformasinya menjadi Pusat Seni Persembahan Sarawak, sekali gus memastikan warisan penting negeri itu kekal untuk generasi akan datang.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, elemen ikonik bangunan berkenaan termasuk panel kayu serta bumbung jubin kaca mozek keemasan akan dikekalkan bagi mempertahankan ciri dan identiti asalnya.
“Ini adalah bangunan yang sudah berumur 53 tahun. Ia mempunyai sejarahnya sendiri sebab ini bangunan DUN lama kita, banyak kenangan. Sekarang kita pelihara ia.
“Apabila siap kelak, anda akan lihat sesuatu yang amat megah yang kita semua banggakan,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja bagi meninjau perkembangan projek berkenaan di sini, pada Jumaat.
Menurut Dato Sri Abdul Karim, usaha mengekalkan struktur asal menjadikan kerja naik taraf lebih mencabar berbanding membina bangunan baharu kerana reka bentuk sedia ada perlu disesuaikan dengan keperluan semasa tanpa menjejaskan nilai warisannya.
Katanya, bumbung asal yang menggunakan jubin kaca mozek keemasan turut dikekalkan meskipun melibatkan kos lebih tinggi bagi memastikan nilai estetika dan karakter bangunan berkenaan terus terpelihara.
Selain pemeliharaan fizikal, sebuah galeri kecil turut dicadangkan bagi merakam sejarah bangunan yang pernah menjadi lokasi persidangan DUN serta menyaksikan pelbagai penggubalan undang-undang penting negeri.
Sebuah buku meja kopi juga dirancang untuk diterbitkan bagi mendokumentasikan sejarah, perkembangan serta kenangan berkaitan bangunan DUN lama itu.
Dalam pada itu, kompleks berkenaan turut merangkumi The Old Lapau yang bakal dijadikan restoran, manakala kawasan bekas air pancut akan dinaik taraf dan persekitarannya dibangunkan sebagai taman rakyat untuk aktiviti riadah serta rekreasi keluarga.
Dato Sri Abdul Karim berkata, usaha memelihara bangunan bersejarah itu merupakan sebahagian daripada ilham mantan Ketua Menteri, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg untuk memastikan bangunan bernilai sejarah terus dipelihara dan dimanfaatkan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Morshidi Frederick. -EDISI UKAS