Sarawak Perkenal Cip Semikonduktor Kuasa GaN Pertama Direka Bentuk Tempatan Pada IDECS26
KUCHING: Sarawak memperkenalkan cip semikonduktor kuasa Gallium Nitride (GaN) pertama yang direka bentuk secara tempatan, keteq.GaN, sempena pembukaan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2026 (IDECS26), di sini pada Isnin.
Dibangunkan oleh Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor Sdn Bhd, Modul Kuasa keteq.GaN itu dilancarkan secara rasmi oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Keteq.GaN dibangunkan bagi kegunaan elektronik kuasa generasi akan datang, merangkumi infrastruktur kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui, sistem penyimpanan tenaga bateri, grid pintar serta pengubah keadaan pepejal pada masa hadapan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan SMD Semiconductor, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata pembangunan berkenaan mencerminkan perubahan penting dalam peranan Sarawak dalam rantaian nilai semikonduktor, khususnya dalam usaha negeri membangunkan teknologi dan harta intelek sendiri.
Menurutnya, Sarawak telah bertahun-tahun membangunkan asas dalam pelbagai bidang termasuk sumber tenaga, keupayaan perindustrian, pembuatan semikonduktor dan pembangunan bakat.
“Apa yang kita lihat hari ini merupakan langkah seterusnya dalam perjalanan itu, iaitu keupayaan membangunkan teknologi semikonduktor di sini serta mewujudkan harta intelek yang berasal dari Sarawak,” katanya.
Beliau menambah, pembangunan keteq.GaN membuktikan keupayaan Sarawak untuk bergerak melangkaui bidang pembuatan semikonduktor dengan menghasilkan teknologi sendiri untuk kegunaan industri serta pasaran di luar negeri.
Sementara itu, Pengerusi SMD Semiconductor merangkap Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar berkata, pelancaran berkenaan merupakan satu lagi pencapaian dalam perkembangan SMD sejak penubuhannya empat tahun lalu.
Menurut beliau, tumpuan kini adalah untuk membawa teknologi berkenaan melangkaui peringkat reka bentuk kepada aplikasi sebenar, sekali gus mewujudkan nilai kepada industri semikonduktor Sarawak secara lebih meluas.
“Bagi SMD, ini adalah mengenai membawa apa yang telah kita bangunkan dan menghubungkannya dengan keperluan sebenar industri. Ketika Sarawak memperkukuh ekosistem semikonduktor dan foundri, kita mahu melihat lebih banyak teknologi yang dibangunkan di sini menghasilkan nilai yang lebih besar kepada industri,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil berkata, keteq.GaN dibangunkan bagi memenuhi keperluan aplikasi elektronik kuasa yang semakin menitikberatkan aspek kecekapan dan pengurusan tenaga.
Susulan pelancaran itu, SMD Semiconductor dengan kerjasama Microelectronics Research and Development Institute (MRDI) Hong Kong dan Gobi Partners turut mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan industri.
Sesi berkenaan bertujuan bertukar pandangan mengenai keupayaan, keperluan dan peluang dalam industri, selain meneroka potensi kerjasama bagi memperkukuh ekosistem semikonduktor dan foundri negeri. -EDISI UKAS