KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 daripada 26 perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dibincangkan menerusi platform Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) telah dikategorikan sebagai selesai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Panglima Amirzan Mohd Ali berkata, tiga perkara pula dikategorikan sebagai selesai sebahagian, manakala lima perkara masih belum selesai.
Menurut beliau, lima perkara lagi telah diangkat ke peringkat tertinggi untuk perbincangan antara Perdana Menteri, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah.
Katanya, antara perkara yang telah dimuktamadkan menerusi Mesyuarat MTPMA63 Bilangan 1/2024 pada 11 September lalu ialah obligasi kewangan Persekutuan di bawah Senarai 3 (Senarai Bersama) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, pertambahan jawatan perkhidmatan awam di bawah Perkara 112 serta Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan di Sabah dan Sarawak.
“Bagi isu pendidikan dan kesihatan pula, perkara tersebut telah dikategorikan sebagai selesai sebahagian atau interim.
“Manakala perkara berkaitan royalti minyak, pembayaran tunai petroleum, Akta Wilayah Laut, duti stem dan hak negeri ke atas pelantar benua pula dirujuk kepada perbincangan peringkat tertinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin mengenai perkembangan terkini rundingan MA63 dan garis masa pelaksanaan hak-hak Sarawak di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Menyentuh tuntutan kuota 35 peratus atau satu pertiga kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), beliau berkata Perdana Menteri telah menyatakan kewajaran untuk meningkatkan kadar nisbah ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, perkara tersebut kini sedang dibincangkan secara serius dan terperinci di peringkat MTPMA63 serta Jawatankuasa Teknikal.
“Saya sendiri telah mengadakan perbincangan awal bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mendapatkan input berkaitan tindakan yang perlu diambil.
“Saya turut mencadangkan pembentukan jawatankuasa khas di bawah Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dan saya sendiri bagi memperincikan kaedah pelaksanaannya,” katanya.
Mengulas mengenai garis masa penyelesaian tuntutan, beliau berkata Kerajaan MADANI komited untuk mempercepatkan penyelesaian semua perkara di bawah MA63.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaannya tetap tertakluk kepada proses perundangan serta kesediaan kerajaan negeri dari aspek operasi, sumber manusia dan kewangan sebelum sesuatu tuntutan dapat dimuktamadkan sepenuhnya.-EDISI UKAS