RUU Makanan 2026: Ahli Parlimen Batang Sadong Gesa Ambil Kira Peniaga Kecil
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Makanan 2026 perlu mengambil kira kemampuan peniaga kecil, khususnya usahawan luar bandar di Sarawak.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, beliau menyambut baik pindaan itu termasuk pengenalan konsep Food Contact Materials bagi memastikan keselamatan makanan turut melibatkan bahan pembungkusan dan bekas yang digunakan.
Bagaimanapun, tegasnya, pelaksanaan standard baharu perlu mengambil kira keadaan peniaga kecil yang masih menggunakan kaedah pembungkusan tradisional.
“Jangan sampai dasar yang baik di peringkat pusat menjadi terlalu sukar untuk dilaksanakan oleh penjaja kecil dan usahawan luar bandar,” katanya ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat.
Menurutnya, Sarawak mempunyai potensi besar dalam penghasilan produk makanan tempatan seperti kek lapis, gula apong dan keropok yang diusahakan oleh peniaga kecil dan usahawan luar bandar.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan tempoh peralihan, panduan dan sokongan sewajarnya bagi membantu peniaga memenuhi keperluan baharu.
Rodiyah turut meminta KKM memperkukuh pemantauan penjualan makanan melalui platform digital serta kerjasama penguatkuasaan bersama agensi berkaitan.
Pada masa sama, pelaksanaan pindaan berkenaan diharap dapat memperkukuh standard keselamatan makanan tanpa menjejaskan kelangsungan peniaga kecil dan potensi produk tempatan Sarawak.-EDISI UKAS