KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM20 juta di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) bagi pembangunan Sistem Pengurusan Gas Rumah Hijau (GHGMS) Fasa 2 untuk memperkukuh tadbir urus iklim di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sebanyak RM10 juta daripada peruntukan itu disediakan pada 2027 bagi membangunkan sistem berkenaan.
“Ia akan memastikan setiap tan karbon yang dibebaskan di Sarawak direkodkan, dipantau dan diuruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, GHGMS Fasa 2 akan menjadi pemacu digital tadbir urus iklim dengan memperkukuh aspek pengukuran, pelaporan dan pengesahan (MRV) pelepasan gas rumah hijau.
Tambahnya, sistem itu juga akan membolehkan pelaksanaan levi karbon, pengurusan kredit karbon dan pendaftaran karbon.-EDISI UKAS
Disediakan: Nur Nabilla
Foto: Hazrin Sunaini & Muhammad Rais Sanusi