Diskaun Bil Elektrik 25 Peratus, Subsidi Bil Air RM5 Diteruskan Pada 2027
KUCHING: Kerajaan Sarawak meneruskan pemberian diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus dari Januari hingga Disember 2027 manakala subsidi bil air RM5 juga diteruskan untuk tahun depan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kesinambungan kedua-dua inisiatif itu bertujuan melindungi pendapatan boleh guna rakyat daripada tekanan peningkatan kos sara hidup.
"Diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus dari Januari hingga Disember 2027, yang akan memanfaatkan kira-kira 716,000 pengguna domestik di seluruh Sarawak dengan implikasi kewangan berjumlah RM281 juta.
"Subsidi RM5 sebulan bagi bil air di bawah program air percuma yang akan memanfaatkan kira-kira 600,000 pengguna domestik dengan implikasi kewangan berjumlah RM35 juta," katanya semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Premier Sarawak memberitahu, langkah bantuan bersasar berkenaan mencerminkan pendekatan kerajaan yang mengutamakan keprihatinan, perancangan jangka panjang dan tanggungjawab dalam mengimbangi disiplin fiskal dengan kesaksamaan sosial.
Tambahnya, inisiatif itu juga bertujuan memperkukuh jaringan perlindungan sosial bagi memastikan rakyat Sarawak, tanpa mengira latar belakang atau keadaan masing-masing, berpeluang menikmati kehidupan yang lebih terjamin dan bermaruah. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini