Sarawak Peruntuk RM40 Juta Biayai Perumahan Mampu Milik Pada 2027
KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM40 juta pada 2027 menerusi Mutiara Mortgage and Credit bagi menyediakan kemudahan pembiayaan perumahan mampu milik kepada pembeli rumah dalam kumpulan B40 dan M40.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kemudahan pembiayaan yang fleksibel itu bertujuan membantu lebih ramai rakyat Sarawak memiliki rumah sendiri.
"Kemudahan pembiayaan gadai janji yang fleksibel ini memastikan lebih ramai rakyat Sarawak berpeluang memiliki rumah sendiri. Skim ini akan menerima peruntukan sebanyak RM40 juta pada 2027," katanya.
Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, Kerajaan Sarawak akan meneruskan Skim Bantuan Deposit Dan Bayaran Balik Perumahan dengan menyediakan bantuan kewangan sebanyak RM10,000 kepada isi rumah B40 dan M40 yang layak, khususnya bagi membantu pembeli rumah kali pertama.
Tambahnya, Skim Bantuan Sewa Sarawak turut menyediakan bantuan sebanyak RM200 sebulan kepada isi rumah berpendapatan RM5,504 dan ke bawah dengan dana keseluruhan RM48 juta itu dijangka memberi manfaat kepada 20,000 isi rumah, dengan liputan bantuan diperluas ke lebih banyak daerah.
Selain itu katanya, Kerajaan Sarawak terus membantu komuniti luar bandar menerusi Skim Pinjaman Rumah Panjang yang menyediakan pinjaman tanpa faedah dalam bentuk bahan binaan dan perkakasan.
"Melalui Skim Pinjaman Rumah Panjang, komuniti luar bandar dibantu menerusi pinjaman tanpa faedah dalam bentuk bahan binaan dan perkakasan dengan peruntukan sebanyak RM30,000 bagi setiap pintu untuk membaik pulih rumah panjang sedia ada dan RM50,000 bagi setiap pintu untuk pembinaan rumah panjang baharu," jelasnya. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini