KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM650 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi pelaksanaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan kumpulan yang memerlukan berdepan peningkatan kos sara hidup.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari TUn Datuk Abang Openg berkata, peruntukan itu membolehkan bantuan kewangan bersasar diteruskan kepada isi rumah B40, warga emas dan individu bujang yang layak, dengan kadar bantuan masing-masing sebanyak RM1,100, RM600 dan RM375.
“Dalam mendepani peningkatan kos sara hidup, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal teguh dengan komitmen untuk melindungi golongan rentan, memperkasa keluarga dan memastikan tiada rakyat Sarawak yang tercicir.
“Menerusi inisiatif ini, kerajaan memperkukuh bantuan kewangan secara langsung melalui penambahbaikan bantuan bersasar, termasuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang menyediakan bantuan kewangan kepada isi rumah B40, warga emas dan individu bujang yang layak,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 bagi Bacaan Kali Kedua semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Isnin.
Peruntukan SKAS itu merupakan antara langkah kerajaan negeri menyediakan bantuan secara langsung dan bersasar bagi meringankan beban kewangan rakyat, khususnya dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Hazrin Sunaini & Muhammad Rais Sanusi