Sarawak Peruntuk RM319.35 Juta Perkukuh Pembangunan Perumahan
KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM319.35 juta pada 2027 bagi melaksanakan pembangunan perumahan mampu milik serta projek pembangunan semula bandar dan penempatan baharu di seluruh negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sebanyak RM106 juta diperuntukkan kepada Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) untuk melaksanakan 10 projek fizikal membabitkan 906 unit rumah mampu milik di Kuching, Samarahan, Betong, Sibu, Mukah dan Limbang.
“Rumah berkenaan akan dibangunkan menerusi Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan Skim Penempatan Semula (SPS),” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 bagi Bacaan Kali Kedua semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Isnin.
Sementara itu, jelas beliau, Pihak Berkuasa Pembangunan dan Pemajuan Tanah (LCDA) akan meneruskan usaha transformasi sosioekonomi melalui projek pembangunan semula bandar, dengan siling peruntukan keseluruhan RM518.4 juta bagi pelaksanaan 1,410 unit rumah.
Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, sebanyak RM213.35 juta diperuntukkan untuk projek LCDA di Kuching, Samarahan, Betong, Sibu, Kapit, Miri dan Lawas pada 2027.
Antara projek yang diluluskan untuk pelaksanaan tahun depan ialah Projek Rumah Spektra Permata di Lundu dengan peruntukan RM15 juta, Skim Pembesaran Spaoh Baru sebanyak RM12 juta, Tabuan Melayu di Kuching sebanyak RM11.7 juta dan Skim Pembesaran Kampung Sambir di Samarahan RM10 juta.
Turut menerima peruntukan ialah Projek Pembangunan Semula Darul Hana di Kuching sebanyak RM25 juta, Projek Pembangunan Kemuyang di Sibu menerima RM20 juta, pembangunan Pasir Panjang di Kuching sebanyak RM15 juta, Bandar Baharu Sebuyau RM18 juta dan Skim Pembesaran Kampung Long Tuan di Lawas sebanyak RM10 juta. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Hazrin Sunaini & Muhammad Rais Sanusi