KUCHING: Projek pembinaan loji jana kuasa Combine Cycle Gas Turbine (CCGT) berkapasiti 500 megawatt (MW) di Miri kini mencapai tahap 63 peratus siap setakat suku ketiga tahun 2026.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh berkata, operasi komersial loji bernilai RM2.5 bilion berkenaan dijangka bermula menjelang akhir tahun 2027.
“Setelah beroperasi, loji ini dijangka menggunakan kira-kira 75 hingga 80 juta kaki padu piawai gas asli sehari bagi menyediakan bekalan elektrik yang lebih dipercayai dan cekap untuk kawasan utara Sarawak.
“Kapasiti kuasa tambahan, yang disokong oleh akses yang lebih besar kepada gas yang dihasilkan secara tempatan, juga akan mengukuhkan daya tarikan Miri untuk pelaburan hiliran, berasaskan gas dan berkaitan tenaga,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Dalam pada itu, Datuk Dr. Malcolm berkata, Kerajaan Sarawak menerusi Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sedang membangunkan Miri sebagai hab gas strategik di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) bagi menyokong pertumbuhan industri hiliran, perkhidmatan minyak dan gas serta aktiviti ekonomi berasaskan gas di utara Sarawak.
Menurutnya, pembangunan itu disokong rangkaian infrastruktur bersepadu termasuk pengeluaran gas di kawasan hulu dan daratan, kemudahan penerimaan gas, loji jana kuasa CCGT, fasiliti gas asli cecair (LNG) berskala kecil serta pengangkutan LNG menggunakan trak.
Pada masa sama ujarnya, PETROS menerusi Sarawak Gas Distribution (SGD) memperluas rangkaian pengagihan gas domestik di Miri, yang kini membekalkan gas berpaip kepada 1,362 pelanggan komersial dan empat pelanggan industri.
Datuk Dr. Malcolm menegaskan, pembangunan hab gas itu dijangka membuka peluang pelaburan dalam sektor minyak dan gas, perkhidmatan berkaitan tenaga serta industri berasaskan gas, serta menyediakan peluang kepada syarikat tempatan untuk menyertai rantaian bekalan dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi bagi rakyat Sarawak.-EDISI UKAS