Liputan Internet Di Bawah Konstituensi DUN Simunjan Capai 98.5 Peratus
KUCHING: Capaian liputan internet berdasarkan penempatan di bawah konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan setakat Oktober 2026 telah mencecah 98.5 peratus.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang berkata, bagi kawasan yang masih mempunyai masalah kekerapan gangguan internet serta ketiadaan perkhidmatan telekomunikasi, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti tapak-tapak yang sesuai bagi pelaksanaan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2 di Sarawak termasuk bagi kawasan Simunjan
“Kumpulan pertama JENDELA Fasa 2 dijadual dilaksanakan dalam suku pertama tahun 2027,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)) Simunjan, Awla Dris dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu orang awam boleh menggunakan aplikasi mudah alih MCMC Nexus yang boleh dimuat turun untuk menyemak kualiti dan prestasi internet secara masa nyata.
“Hasil semakan ini akan direkodkan secara automatik kepada sistem untuk penelitian dan tindakan lanjut oleh pihak MCMC,” jelasnya lagi. - EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi & Hazrin Sunaini