LCDA Agri Business Pajak 143 Hektar Tanah Untuk Pengeluaran Padi Hibrid
KUCHING: Pajakan tanah seluas 143 hektar selama 20 tahun kepada Onemas Agriculture membuka peluang memperluas pengeluaran padi hibrid di Sarawak, sekali gus menyokong usaha meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras negeri kepada 60 peratus menjelang 2030.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kerjasama menerusi Memorandum Pajakan Kecil antara LCDA Agri Business dan Onemas Agriculture itu membolehkan tanah milik Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) di Meradong dibangunkan bagi penanaman padi menggunakan teknologi moden dan mekanisasi.
Jelasnya, penglibatan sektor swasta terbabit penting untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi, memandangkan tahap SSL beras Sarawak ketika ini hanya sekitar 21 peratus.
“Ini merupakan hala tuju masa depan penanaman padi di Sarawak. Kita perlu menggunakan teknologi baharu untuk menghasilkan tuaian yang lebih tinggi dan meningkatkan jumlah pengeluaran.
“Kerajaan akan menyediakan infrastruktur, manakala pihak pengusaha menguruskan operasi. Kerjasama sektor awam dan swasta amat penting untuk menjayakan usaha ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Pajakan Kecil antara LCDA Agri Business dan Onemas Agriculture, di sini pada Selasa.
Dalam sidang media berkenaan, beliau mendedahkan pendekatan penanaman padi hibrid yang dilaksanakan Onemas Agriculture menunjukkan potensi besar apabila hasil tuaian pertama mencatatkan 11.08 tan metrik sehektar, jauh mengatasi kaedah penanaman tradisional yang lazimnya menghasilkan sekitar 1.5 hingga dua tan metrik sehektar.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Sri Dr Stephen Rundi turut memberitahu bahawa Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM1 bilion bagi pembangunan industri padi, selain mengenal pasti kira-kira 14,000 hektar tanah yang berpotensi dibangunkan untuk tujuan itu.
“Kita akan memulakan projek ini dengan menggunakan 2,000 hektar tanah milik kerajaan negeri bagi membolehkan pelaksanaannya diteruskan menerusi skim sedia ada, iaitu ‘Design, Build, Operate and Transfer’ (DBOT),” ujarnya lagi.
Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Martin Ben, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Datu Sirai Daha, Pengurus Besar LCDA Datu Sr Zaidi Mahdi, Pengarah Pertanian Sarawak Datu Dominic Chunggat serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS