ADUN Daro Saran SFC Bangunkan Pulau Tun Ahmad Zaidi Sebagai Destinasi Ekopelancongan
KUCHING: Sarawak Forestry Corporation (SFC) disaran membangunkan Pulau Tun Ahmad Zaidi Nature Reserve di Daro sebagai destinasi rekreasi, pendidikan alam sekitar dan ekopelancongan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad berkata, kawasan hutan simpan seluas kira-kira 547 hektar itu mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai tarikan pelancongan berasaskan alam semula jadi.
Menurutnya, pembangunan secara berfasa boleh dilaksanakan melalui penyediaan kemudahan seperti laluan pelantar, pusat maklumat pelawat dan tempat pemerhatian alam, dengan mengambil kira kesesuaian tapak serta pemuliharaan alam sekitar.
“Pulau Tun Ahmad Zaidi Nature Reserve yang telah diwartakan sejak 2013 mempunyai khazanah alam yang bernilai dan berpotensi besar untuk meningkatkan industri pelancongan di Daro,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027) 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Rabu.
Dalam perbahasan sama, Dr. Safiee turut mencadangkan agar pembangunan kawasan itu dijadikan seumpama Bukit Lima Nature Reserve di Sibu, dengan kemudahan yang bersesuaian serta menitikberatkan kelestarian alam sekitar.
Usaha itu diharap dapat memperluas pilihan tarikan pelancongan di Daro, selain membuka peluang kepada perkembangan aktiviti ekonomi setempat melalui sektor ekopelancongan.-EDISI UKAS