Percepat Naik Taraf Jalan Bau-Kuching, ADUN Serembu Minta Jadual Pelaksanaan Jelas
KUCHING: Pelaksanaan fasa seterusnya bagi menaik taraf Jalan Bau-Kuching kepada jalan berkembar bagi menampung peningkatan trafik serta menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Daerah Bau perlu dipercepatkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Dato Miro Simuh berkata, penaiktarafan jalan utama itu perlu diberi keutamaan memandangkan laluan berkenaan menjadi penghubung penting penduduk Bau dan kawasan sekitarnya ke Kuching bagi urusan pekerjaan, pendidikan, kesihatan serta perniagaan.
“Saya dengan ikhlas menggesa Kerajaan Sarawak agar mempertimbangkan secara serius usaha mempercepat pelaksanaan fasa seterusnya projek ini dan memasukkannya dalam program pembangunan akan datang,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027) semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Rabu.
Beliau dalam pada itu mengalu-alukan kerja-kerja menaik taraf jalan dari persimpangan Bau-Lundu ke Bandar Bau yang melibatkan peruntukan dilaporkan sebanyak RM74 juta, namun menegaskan projek itu hanya merangkumi satu bahagian daripada keseluruhan rangkaian jalan berkenaan.
Menurutnya, beliau bimbang kerana cadangan menaik taraf keseluruhan Jalan Bau-Kuching tidak dikenal pasti secara khusus dalam projek yang diumumkan menerusi Belanjawan Sarawak 2027.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menjelaskan status terkini keseluruhan program penaiktarafan berkenaan, perancangan bagi fasa seterusnya serta sama ada peruntukan khusus dan jadual pelaksanaan telah ditetapkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Miro turut menggesa agensi berkaitan mempercepat proses kelulusan projek pembangunan yang masih tertangguh, termasuk projek yang menunggu kelulusan melebihi setahun.
Katanya, tempoh masa yang jelas perlu ditetapkan bagi proses kelulusan supaya projek yang telah dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan disiapkan mengikut jadual serta piawaian ditetapkan.
“Masih terlalu banyak projek yang belum mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan, malah terdapat projek yang telah menunggu lebih setahun dan masih belum diluluskan sehingga kini.
“Saya berharap pihak berkuasa berkaitan dapat memberikan keutamaan serta menetapkan tempoh masa yang jelas bagi proses kelulusan setiap projek, bukan sahaja di kawasan pilihan raya saya, tetapi di seluruh Sarawak,” ujar beliau lagi. -EDISI UKAS