ADUN Serembu Cadang Pelan Hala Tuju Pendidikan Jangka Panjang Sarawak
KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan membangunkan pelan hala tuju pendidikan dan pembangunan bakat jangka panjang yang komprehensif dengan sasaran terukur bagi meningkatkan pencapaian pembelajaran, akses digital luar bandar, kemahiran teknikal serta kebolehpasaran graduan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Dato Miro Simuh berkata, perancangan itu penting bagi memastikan setiap kanak-kanak di Sarawak mendapat peluang pendidikan berkualiti tanpa dibatasi kemiskinan atau faktor geografi.
“Saya mencadangkan agar Sarawak membangunkan pelan hala tuju pendidikan dan pembangunan bakat jangka panjang yang komprehensif, dengan sasaran yang boleh diukur bagi meningkatkan pencapaian pembelajaran, akses digital di luar bandar, kemahiran teknikal dan kebolehpasaran graduan.
“Matlamat kita mesti jelas, iaitu tiada anak Sarawak yang dinafikan peluang untuk berjaya hanya disebabkan kemiskinan atau kekangan geografi,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027) semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini pada Rabu.
Menurut beliau, perhatian berterusan perlu diberikan kepada sekolah luar bandar, khususnya dari segi kemudahan fizikal, capaian internet yang stabil, peralatan pembelajaran digital dan sumber pengajaran yang mencukupi.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan memperluas pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta pembelajaran digital sejak peringkat awal persekolahan bagi mempersiapkan generasi muda menghadapi perkembangan kecerdasan buatan (AI), automasi dan inovasi teknologi.
“Anak-anak kita perlu dipersiapkan untuk menghadapi masa depan yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), automasi dan inovasi teknologi.
“Oleh itu, saya menggesa kerajaan supaya memperluas akses kepada komputer, kemudahan bilik darjah digital dan program STEM, khususnya di sekolah rendah luar bandar,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Miro turut mencadangkan bantuan pendidikan diperkukuh sejak peringkat awal kanak-kanak, khususnya bagi keluarga berpendapatan rendah, merangkumi pendidikan awal kanak-kanak, bahan pembelajaran, program pemulihan pembelajaran dan biasiswa.
Beliau berkata, proses permohonan bantuan berkenaan juga perlu dipermudah serta dilaksanakan secara telus dan mudah diakses oleh golongan yang benar-benar memerlukan. -EDISI UKAS