DUN Sarawak Gantung ADUN Padungan Hingga 21 Oktober
KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Khamis meluluskan usul penggantungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Chong Chieng Jen daripada menghadiri baki Persidangan DUN Sarawak Ke-19 sehingga 21 Oktober ini.
Keputusan itu dibuat susulan dakwaan bahawa beliau telah mengelirukan Dewan serta mengeluarkan kenyataan yang tidak disokong bukti ketika membahaskan Belanjawan Sarawak 2027.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar mengumumkan usul berkenaan diluluskan dengan 62 undi menyokong, satu menentang dan satu berkecuali.
“Ahli-ahli Yang Berhormat, jumlah keseluruhan yang menyokong usul ini ialah 62 orang, seorang menentang dan seorang berkecuali. Dengan ini, saya mengisytiharkan usul menteri yang dikemukakan atas nama Menteri Pengangkutan merangkap ADUN Senadin diluluskan.
“Saya juga mengisytiharkan bahawa ADUN Padungan digantung daripada menghadiri persidangan Dewan ini berkuat kuasa hari ini, 15 Oktober 2026 sehingga berakhirnya persidangan ini,” ujar beliau.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin ketika membentangkan usul itu merujuk kepada kenyataan Chong pada 13 Oktober lalu yang mempersoalkan kebolehpercayaan dokumen Belanjawan Sarawak 2027 susulan isu penomboran halaman.
Menurut usul berkenaan, Chong didakwa melanggar Peraturan Mesyuarat 32(4), 32(6), 32(10)(b) dan 32(12).
Usul itu turut membangkitkan tindakan Chong ketika perbahasan pada 14 Oktober, termasuk dakwaan mengemukakan kenyataan berulang kali tanpa bukti kukuh apabila diminta berbuat demikian oleh Speaker DUN.
Selain itu, beliau turut didakwa menggunakan bahasa yang menyinggung perasaan, mengaitkan motif tidak wajar terhadap Ahli Dewan lain serta mengemukakan dakwaan yang tidak dapat dibuktikan.
Susulan kelulusan usul tersebut, penggantungan Chong berkuat kuasa serta-merta mulai 15 Oktober sehingga persidangan DUN Sarawak berakhir pada 21 Oktober 2026.-EDISI UKAS