Percepat Kelulusan Pencawang LILO Bagi Pacu Ekonomi Tenaga Hijau Baram
KUCHING: Kerajaan Sarawak disaran mempercepatkan kelulusan pembinaan pencawang Line-In-Line-Out (LILO) di Temala, Long Lama bagi menyokong pembangunan Baram Renewable Energy Economic Zone (BREEZ).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata kemudahan tersebut amat penting bagi memastikan tenaga yang dijana menerusi pembangunan solar bersepadu di kawasan berkenaan dapat disalurkan ke grid Sarawak.
Menurutnya, pembangunan BREEZ berpotensi menjadi pemangkin ekonomi baharu di Baram menerusi pelaburan swasta bernilai berbilion ringgit yang turut melibatkan pembangunan kemudahan logistik, gudang dan operasi serta sebuah bandar moden bagi menempatkan tenaga kerja.
“LILO di Temala amat kritikal bagi memastikan tenaga yang dijana dapat disalurkan ke grid negeri.
“Sekiranya pelaburan swasta bernilai berbilion ringgit serta pembangunan infrastruktur sokongan yang dirancang bukan satu justifikasi ekonomi, maka apakah lagi yang diperlukan?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Mengulas lanjut, Dennis berkata pembangunan Baram Agrovoltaic di Temala turut berpotensi membuka peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran belia tempatan serta mewujudkan sumber ekonomi baharu kepada masyarakat Baram.
Jelasnya, kelebihan sumber tenaga solar di kawasan tersebut perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyokong agenda Sarawak memperkukuh sektor tenaga boleh baharu.
Beliau turut menyeru pihak berkaitan supaya mengelakkan kelewatan yang tidak perlu dalam proses kelulusan, selagi semua keperluan teknikal, alam sekitar dan kepentingan komuniti dapat dipenuhi.
“Saya berharap projek Baram Integrated Solar dapat menjadi pemangkin kepada transformasi ekonomi luar bandar, membawa peluang pekerjaan, pembangunan kemahiran, peluang perniagaan serta infrastruktur sokongan kepada masyarakat Baram.
“Biarlah Baram dikenali bukan sahaja kerana sumber alamnya, tetapi juga kerana sumbangannya kepada masa depan tenaga bersih Sarawak,” tambah beliau.-EDISI UKAS