Dua Anak Sarawak Cipta Nama Di Pentas Dunia, Naib Juara Olimpik Robotik Di Croatia
CROATIA: Dua pelajar muda dari Sarawak membuktikan bakat anak tempatan mampu bersaing di pentas antarabangsa apabila berjaya meraih tempat kedua dunia dalam kategori RoboMission Junior pada Kejohanan World Robot Olympiad (WRO) 2026 Open Championship Europe di Zagreb, Croatia.
Kejayaan membanggakan itu dilakar oleh Matthew Cheong dan Timothy Cheong, kedua-duanya pelajar Borneo International School, yang mewakili Malaysia menerusi pasukan 'Malaysia Boleh' pada kejohanan berlangsung dari 13 hingga 16 Oktober 2026.
Pencapaian tersebut amat bermakna apabila mereka berjaya menyerlah dalam kejohanan berprestij yang menghimpunkan lebih 220 pasukan dari 45 negara, sekali gus mengangkat nama Sarawak dan Malaysia dalam bidang robotik serta inovasi teknologi.
Berbekalkan kemahiran pengaturcaraan, kejuruteraan, kreativiti dan keupayaan menyelesaikan masalah, kedua-dua pelajar berkenaan mempamerkan prestasi cemerlang untuk muncul sebagai naib juara dunia dalam kategori yang dipertandingkan.
Lebih membanggakan, kejayaan itu turut memperlihatkan keberkesanan usaha pembangunan bakat muda Sarawak menerusi kerjasama institusi pendidikan, pusat latihan khusus dan agensi kerajaan.
Pasukan berkenaan menerima latihan intensif daripada TESSLAB, sebuah pusat latihan robotik yang berpangkalan di Miri, meliputi reka bentuk robot, pengaturcaraan serta strategi pertandingan bagi menghadapi saingan di peringkat antarabangsa.
Penyertaan mereka turut mendapat tajaan Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) serta Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC).
Sokongan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk mengembangkan potensi, khususnya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Dalam temu bual selepas pertandingan, Matthew dan Timothy turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas sokongan yang membolehkan mereka merealisasikan impian untuk bersaing di pentas dunia.
Kejayaan pasukan 'Malaysia Boleh' bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga dan sekolah, malah membuktikan bahawa anak Sarawak mempunyai kemampuan untuk berdiri sama tinggi dengan bakat terbaik dunia apabila diberikan peluang, bimbingan dan kemudahan yang sewajarnya.
Pencapaian itu juga diharap menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar di Sarawak untuk meneroka bidang robotik, pengaturcaraan dan teknologi digital yang semakin penting dalam pembangunan ekonomi masa hadapan.
Pada masa sama, kejayaan berkenaan memperkukuh aspirasi Sarawak untuk melahirkan generasi berkemahiran tinggi, inovatif dan berdaya saing seiring dengan usaha negeri membangunkan ekonomi berteraskan teknologi serta inovasi.
Bagi Matthew dan Timothy, gelaran naib juara dunia itu bukan sekadar pengiktirafan terhadap usaha dan disiplin mereka, tetapi juga menjadi titik permulaan kepada pencapaian lebih besar dalam bidang robotik pada masa hadapan.-EDISI UKAS