Karnival Sukan DUN Serembu Galak Gaya Hidup Sihat, Perkukuh Perpaduan Komuniti
BAU: Penganjuran Karnival Sukan Sempena Hari Sukan Negara Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Serembu menjadi platform menggalakkan gaya hidup sihat, memperkukuh semangat kesukanan serta mengeratkan hubungan masyarakat setempat, khususnya golongan belia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Dato Miro Simuh berkata, program seumpama itu penting dalam menyediakan ruang kepada masyarakat untuk melibatkan diri dalam aktiviti riadah yang sihat dan bermanfaat, sekali gus memupuk semangat kerjasama serta perpaduan dalam komuniti.
Menurut beliau, penglibatan aktif golongan belia dalam aktiviti sukan dan kemasyarakatan bukan sahaja dapat membentuk disiplin serta semangat berpasukan, malah membantu membina komuniti yang lebih aktif dan harmoni.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Karnival Sukan Sempena Hari Sukan Negara Peringkat DUN Serembu di Krokong pada Sabtu.
Karnival berkenaan dimeriahkan dengan pelbagai acara sukan termasuk pertandingan bola sepak, futsal wanita dan sukan rakyat yang mendapat penyertaan masyarakat setempat.
Selain aktiviti sukan, pengunjung turut berpeluang mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan serta mengunjungi pelbagai reruai pameran yang disediakan sepanjang program berlangsung.
Penganjuran karnival itu turut mendapat kerjasama pelatih Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kota Sentosa dalam menjayakan aktiviti berkaitan kesihatan dan kesejahteraan komuniti.
Dalam pada itu, Dato Miro merakamkan penghargaan kepada Kelab Sukan Rekreasi Krokong, ILKKM Kota Sentosa dan Bau Lakers FC atas kerjasama serta komitmen dalam menjayakan penganjuran karnival berkenaan.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan sebagai usaha membudayakan amalan hidup aktif dan sihat, di samping memperkukuh hubungan silaturahim serta penglibatan belia dalam aktiviti kemasyarakatan.
Turut hadir, Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi, Pengarah ILKKM Kota Sentosa, Lim Ban Dang dan Temenggong Bidayuh Bahagian Kuching, Temenggong Atok Derop.-EDISI UKAS