Ujian Rintis ART Kuching Disasar Bermula Hujung Tahun Ini
KUCHING: Operasi perintis sistem Transit Aliran Autonomi (ART) di Kuching disasarkan bermula menjelang akhir tahun ini bagi menguji prestasi, keselamatan dan kesiapsiagaan sistem sebelum perkhidmatan itu memulakan operasi komersial.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ujian berkenaan akan dijalankan di jajaran Laluan Biru Fasa 1 dari Rembus ke Northbank.
“Laluan ini kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 88 peratus berbanding sasaran kemajuan yang dirancang sebanyak 97 peratus.
“Dua unit ART pertama telah tiba di Kuching, manakala dua unit lagi dijangka tiba menjelang akhir tahun ini,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Isnin.
Menurut Dato Sri Lee, fasa ujian itu membolehkan kontraktor dan pengendali menilai prestasi sistem serta mengenal pasti dan mengatasi sebarang kelemahan sebelum operasi komersial dimulakan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu pembinaan Laluan Hijau ART dijangka bermula pada suku pertama 2027, ketika kerja-kerja pembinaan Laluan Biru dan Laluan Merah sedang berjalan.
“Ketika kerja-kerja pembinaan Laluan Biru dan Laluan Merah sedang berjalan, Laluan Hijau pula akan dilaksanakan tidak lama lagi, dengan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada suku pertama 2027,” ujarnya lagi. -EDISI UKAS