Projek SSLR Fasa 1 Capai Kemajuan Fizikal 78.07 Peratus
KUCHING: Projek Jalan Penghubung Sarawak-Sabah (SSLR) Fasa 1 mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 78.07 peratus dan disasarkan siap pada 2027.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, SSLR Fasa 2 pula mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 23.38 peratus dengan sasaran siap pada 2030.
"Projek-projek ini akan memperkukuh hubungan perhubungan di utara Sarawak serta menyediakan laluan alternatif antara Sarawak dan Sabah tanpa melalui negara Brunei Darussalam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, pada Rabu.
Tambahnya, pelaksanaan kedua-dua fasa SSLR melibatkan kos RM8.17 bilion dan dilaksanakan seiring dengan kerja-kerja menaik taraf jalan raya sepanjang kira-kira 93 kilometer di bawah projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB).
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Amar Douglas memberitahu, pelaksanaan projek LTB turut menunjukkan kemajuan menerusi tiga seksyen utama di Miri, Limbang dan Lawas.
Menurutnya, kontrak bagi Seksyen Miri sepanjang 4.95 kilometer telah dianugerahkan pada 18 September 2026, manakala penyerahan tapak dilaksanakan pada 2 Oktober 2026.
Manakala kontrak bagi Seksyen Limbang sepanjang 54.6 kilometer dan Seksyen Lawas sepanjang 33.7 kilometer dijangka dianugerahkan menjelang akhir tahun ini. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie