Empat Jambatan Mega Sarawak Disasar Dibuka, Siap Menjelang Hujung Tahun
KUCHING: Empat jambatan mega di Sarawak dijadual dibuka kepada lalu lintas atau disiapkan menjelang Disember ini, termasuk Jambatan Batang Lupar 2 yang bakal memendekkan perjalanan antara Sri Aman dan Betong daripada satu jam kepada kira-kira 25 minit.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Jambatan Batang Paloh sepanjang 1.7 kilometer dijadual dibuka pada 30 Oktober, diikuti Jambatan Batang Lupar 2 sepanjang 870 meter pada November ini.
“Jambatan Batang Paloh dijadual dibuka kepada lalu lintas pada 30 Oktober 2026, menjadikan jumlah jambatan mega yang siap di Sarawak meningkat kepada 13,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Rabu.
Menurut beliau, Jambatan Batang Lupar 2 yang mempunyai menara setinggi 145.5 meter itu akan mengurangkan jarak perjalanan antara Sri Aman dan Betong daripada 73 kilometer kepada kira-kira 28 kilometer.
“Apabila jambatan ini siap, masa perjalanan antara Sri Aman dan Betong akan berkurangan daripada satu jam kepada sekitar 25 minit,” katanya lagi.
Sementara itu, Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak itu mendedahkan, Jambatan Batang Saribas 2 sepanjang 2.39 kilometer di kawasan Pusa, Bahagian Betong, disasarkan siap pada Disember ini, bagi menyediakan satu lagi hubungan jalan raya merentasi Batang Saribas.
Di samping itu, Jambatan Sungai Limbang sepanjang 772.4 meter di utara Sarawak pula dijangka dibuka kepada orang ramai pada bulan sama.
Tambah beliau, pembukaan Jambatan Sungai Limbang dijangka mengurangkan masa perjalanan sehingga satu jam 30 minit, selain meningkatkan potensi pelancongan di Limbang.
Secara keseluruhan, sebanyak 22 jambatan mega bernilai RM6.55 bilion dibangunkan di Sarawak dengan 12 daripadanya telah dibuka kepada orang ramai sejak November 2024. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi & George Embie