Terminal LNG Kuching Perkukuh Bekalan Gas, Pacu Tanjung Embang
KUCHING: Pembangunan Terminal LNG Kuching bakal memperkukuh bekalan gas domestik Sarawak serta menyokong pembangunan Kuching Low-Carbon Hub (KLCH).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berkata, PETROS telah memeterai Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) dengan Höegh Evi bagi membangunkan Terminal LNG Kuching sebagai sebahagian daripada KLCH.
“PETROS telah memeterai Perjanjian Pembangunan Bersama dengan Höegh Evi bagi membangunkan Terminal LNG Kuching sebagai sebahagian daripada KLCH,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Menurut beliau, terminal berkenaan dicadangkan sebagai kemudahan regasifikasi LNG pertama Sarawak dan akan membekalkan gas ke Kuching serta kawasan sekitarnya.
Pembangunan terminal LNG bersama sumber gas luar pesisir Barat Sarawak turut akan memperkukuh bekalan gas jangka panjang bagi penjanaan tenaga dan aktiviti perindustrian masa depan di wilayah selatan.
Pada masa sama katanya, Tanjung Embang sedang dibangunkan sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi utama Kuching dengan sokongan infrastruktur strategik termasuk Kuching Deep-Sea Port dan taman perindustrian.
Kawasan itu akan menyokong usaha menarik industri bernilai tinggi termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, pemprosesan makanan dan mesin pintar.
Jelas Premier Sarawak lagi, cadangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu dengan kapasiti awal 15 juta penumpang setahun pula akan diintegrasikan dengan ekosistem Tanjung Embang bagi memperkukuh hubungan serantau dan antarabangsa serta pergerakan penumpang, kargo, pelancongan, perdagangan dan pelaburan.
Sebuah pasukan petugas khas melibatkan agensi dan pihak berkuasa berkaitan turut ditubuhkan bagi menyelaras pembangunan Tanjung Embang, dengan pembangunan fizikal dijangka bermula awal tahun depan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ezzah Syafiqah
Foto: George S. Embie