Majoriti Aduan Penduduk Jemoreng Berjaya Diselesaikan
MATU: Sebahagian besar isu dan aduan penduduk yang dibangkitkan menerusi tujuh siri Dialog Pembangunan Sarawakku Sayang (SKS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng dari Jun hingga Oktober 2026 berjaya diselesaikan, manakala selebihnya masih dalam tindakan susulan agensi berkaitan.
Perkembangan itu dimaklumkan pada Mesyuarat Pemantauan dan Tindakan Susulan Agensi selepas program berkenaan yang dipengerusikan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya di Pejabat Daerah Matu, pada Khamis.
Mesyuarat itu bertujuan meneliti maklum balas serta perkembangan tindakan agensi terhadap isu yang dibangkitkan penduduk sepanjang siri dialog berkenaan.
Antara agensi yang terlibat ialah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Tanah dan Survei, Pejabat Agama Islam Bahagian Mukah, Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Sarawak Forestry Corporation (SFC) serta Sarawak Energy, selain beberapa agensi lain.
Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari kawasan DUN Jemoreng turut hadir bagi mengikuti perkembangan tindakan terhadap aduan penduduk di kawasan masing-masing.
Bagi isu yang masih belum selesai, tindakan susulan akan diteruskan bersama agensi berkaitan mengikut bidang kuasa, keperluan dan kekangan yang dihadapi bagi memastikan setiap aduan mendapat perhatian sewajarnya.
Pendekatan dialog dan pemantauan berterusan itu turut membuka ruang komunikasi dua hala antara masyarakat dengan agensi kerajaan, sekali gus membantu memastikan isu pembangunan di peringkat akar umbi ditangani secara lebih teratur dan berkesan.
Program Dialog Pembangunan Sarawak Ku Sayang DUN Jemoreng akan diteruskan sebagai platform memperkukuh kerjasama antara pemimpin setempat, masyarakat dan agensi kerajaan dalam menangani isu serta keperluan penduduk.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Matu Hamidah Halpi.-EDISI UKAS