Penganjuran Pelbagai Acara Meriahkan Kuching, Tarik Pelancong Antarabangsa
KUCHING: Penganjuran pelbagai acara pelancongan, sukan, kebudayaan dan keusahawanan secara serentak menjadikan Tebingan Kuching semakin meriah dengan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penyelarasan pelbagai acara dalam satu tempoh turut membantu meningkatkan kehadiran pengunjung serta menghidupkan suasana di kawasan Tebing Sungai Kuching.
“Jadi sebab itulah kalau kita lihat Bandar Raya Kuching, terutama sekali di Tebing Sungai, begitu meriah sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak 2026, di Tebingan Kuching, di sini pada Jumaat.
Penganjuran Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak 2026 Ke-12, Sarawak Regatta 2026, Festival Kraf Borneo Sarawak 2026, Pentas Kesenian, Showcase Usahawan Sarawak dan Festival Gendang Melayu Sarawak antara acara yang berlangsung dalam tempoh sama.
Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak 2026 Ke-12 dan Sarawak Regatta 2026 yang bertemakan “Race For Harmony” berlangsung selama 10 hari dari 23 Oktober hingga 1 November 2026, menghimpunkan elemen sukan air, kebudayaan dan keusahawanan di sepanjang Sungai Sarawak.
Bagi edisi tahun ini, sebanyak 80 pasukan dari 22 negara dengan penyertaan seramai 2,450 peserta mengambil bahagian dalam Regata Perahu Naga.
Tujuh negara baharu turut membuat penyertaan sulung iaitu Liechtenstein, Vietnam, Kemboja, Argentina, Fiji, Moldova dan Mexico, sekali gus menunjukkan sambutan antarabangsa yang semakin meningkat sehingga pihak penganjur mengehadkan penyertaan kepada 22 negara.
Sebanyak tujuh kategori dipertandingkan iaitu International Premier Open 20s, International Premier Open 12s, International Premier Mixed 20s, International Premier Women 12s, International Senior Open 12s, International Cancer Survivors 12s dan kategori baharu Malaysia Closed Men 12s untuk peserta berusia 50 tahun ke atas.
Jumlah hadiah wang tunai keseluruhan bagi Dragon Boat turut meningkat dua kali ganda kepada RM200,000 berbanding RM100,000 tahun lalu.
Sementara itu, perlumbaan tradisional Perahu Bidar Sarawak Regatta akan berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November 2026 dengan 18 acara melibatkan kategori tempatan dan terbuka, termasuk Marathon Antarabangsa Borneo sejauh 3 kilometer.
Kemeriahan penganjuran turut disokong kehadiran ribuan pelancong luar yang berada di Kuching bagi menghadiri pelbagai persidangan dan acara antarabangsa, termasuk perhimpunan agung yang melibatkan 109 negara dengan kira-kira 1,800 delegasi serta satu lagi persidangan pada 24 Oktober yang melibatkan kira-kira 1,500 pengunjung dari luar.
Turut hadir, Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah bersama isteri Paridah Ibrahim, Timbalan-Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Datuk Snowdan Lawan serta Residen Bahagian Kuching merangkap Pengerusi Pengelola Sarawak Regatta Kuching-Waterfront Festival 2026, Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ezzah Syafiqah
Foto: George S. Embie, Ezzah Syafiqah