15 Sekolah Mubaligh Di DUN Tarat Terima RM1.7 juta
TAPAH: Sebanyak 15 sekolah mubaligh di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat menerima bantuan berjumlah RM1.7 juta menerusi Dana Sekolah Mubaligh Sarawak 2026 bagi menyokong keperluan pendidikan dan kemudahan sekolah.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, bantuan tersebut merupakan peruntukan Fasa 1 tahun 2026 yang disalurkan menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan cek bantuan berkenaan di Pusat Khidmat ADUN Tarat, Tapah, hari ini.
Daripada 15 penerima tersebut, lapan adalah di bawah Catholic Archdiocese of Kuching, manakala tujuh lagi di bawah Anglican Diocese of Kuching.
Menurut Dato Sri Roland, Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan RM10 juta pada tahun ini bagi membantu sekolah mubaligh meningkatkan kualiti pembelajaran serta kemudahan pendidikan.
Beliau turut mengingatkan pihak pengurusan sekolah supaya cek yang diterima didepositkan ke dalam akaun berkaitan dalam tempoh tiga bulan bagi memastikan urusan penerimaan dan pengurusan kewangan berjalan lancar.
Katanya, setiap peruntukan hendaklah digunakan mengikut tujuan dan skop kelulusan yang ditetapkan serta tidak disalahgunakan untuk kepentingan peribadi atau aktiviti yang tidak berkaitan.
Dato Sri Roland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat turut menegaskan kepentingan pengurusan kewangan yang telus, bertanggungjawab dan berintegriti oleh guru besar serta pengerusi pengurusan sekolah bagi memastikan bantuan yang disalurkan memberi manfaat kepada murid dan institusi pendidikan.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyentuh Belanjawan Sarawak 2027 yang antara lain bertujuan menyokong pembangunan negeri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, termasuk memastikan pelaksanaan peruntukan pembangunan memberi manfaat kepada masyarakat.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Damen Rejek dan Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Siburan Neuchlos Jub. -EDISI UKAS