Persiapan Program Sarawakku Sayang 2026 Zon Selatan Diperkemas
KUCHING: Persiapan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Zon Selatan melibatkan Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian terus diperkemas bagi memastikan kelancaran penganjuran serta manfaatnya dapat dinikmati masyarakat setempat.
Perkara itu menjadi fokus Mesyuarat Penyelarasan Program Sarawakku Sayang 2026 (Zon Selatan) yang dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua pada Selasa.
Mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada perancangan, pengisian aktiviti serta penyelarasan antara jawatankuasa kerja dan agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar dan teratur.
Bagi Bahagian Serian, program dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 22 November 2026 di Serian Conference Centre, diikuti Bahagian Samarahan pada 27 hingga 29 November 2026 di Halaman Samarahan.
Sementara itu, penganjuran bagi Bahagian Kuching dijadualkan pada 4 hingga 6 Disember 2026 di Metro City Kuching.
Majlis perasmian program di ketiga-tiga bahagian berkenaan dijadualkan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Program Sarawakku Sayang merupakan platform mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat menerusi pelbagai aktiviti, penyampaian maklumat dan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Penganjurannya juga mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Sarawak memastikan perkhidmatan dan inisiatif pembangunan dapat diakses oleh masyarakat di pelbagai kawasan.-EDISI UKAS