Peningkatan Dana PUNB Kepada RM500 Juta Buka Peluang Lebih Luas Kepada Usahawan Bumiputera Sarawak
KUCHING: Peningkatan dana pembiayaan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) kepada RM500 juta di bawah Belanjawan 2027 dijangka membuka lebih banyak peluang kepada usahawan Bumiputera Sarawak untuk mengembangkan perniagaan dan menembusi rantaian bekalan industri bernilai tinggi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, peningkatan dana itu diharap dapat memperkukuh kapasiti syarikat tempatan supaya mampu merebut peluang yang diwujudkan oleh pertumbuhan pelaburan dan perkembangan industri di negeri ini.
Menurutnya, PUNB telah menyalurkan RM121.2 juta kepada kira-kira 354 syarikat di Sarawak setakat 3 September 2026, sekali gus mencerminkan peranan pembiayaan dalam menyokong perkembangan perusahaan Bumiputera.
“Peningkatan ini diharap dapat memperluas akses pembiayaan kepada usahawan Bumiputera termasuk di Sarawak, bagi meningkatkan kapasiti dan mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jaringan Usahawan Negeri Sarawak 2026, di sini pada Rabu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menekankan pengukuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) penting bagi menyokong sasaran Sarawak mencapai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM282 bilion menjelang 2030 di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu lagi, negeri ini mempunyai kira-kira 71,000 PMKS, dengan hampir 80 peratus daripadanya merupakan perusahaan mikro, manakala sumbangannya kepada KDNK negeri dianggarkan sekitar 18 peratus.
Justeru, katanya, perusahaan tempatan perlu meningkatkan kapasiti pengeluaran, kemahiran, pendigitalan dan kecekapan pengurusan bagi memenuhi keperluan industri serta bersaing dalam pasaran yang lebih luas.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan PUNB memperluas kerjasama dengan Sarawak Energy Berhad (SEB), Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan syarikat berkaitan bagi membuka lebih banyak peluang kepada vendor tempatan, khususnya dalam sektor tenaga, pembuatan berteknologi tinggi dan infrastruktur utiliti.
Usaha itu boleh merangkumi penyediaan pembiayaan, peralatan serta pembangunan kapasiti bagi membantu syarikat tempatan memenuhi keperluan teknikal dan operasi pemain industri.
“Sejak 2019, program pembangunan vendor SEB telah menyokong 212 vendor sehingga September 2026, dengan 197 daripadanya berjaya menamatkan program berkenaan, termasuk 154 vendor Bumiputera,” katanya lagi.
Sementara itu, PUNB merancang melancarkan skim pembiayaan PROSPER GROW PLUS pada Januari 2027 bagi membantu perusahaan tempatan meningkatkan kapasiti teknikal, automasi dan modal kerja.
Skim berkenaan menawarkan pembiayaan antara RM1 juta hingga RM10 juta pada kadar keuntungan 3.5 peratus setahun bagi tempoh sehingga tujuh tahun, dengan permohonan dijadual dibuka pada Januari 2027.
Program Jaringan Usahawan Negeri Sarawak 2026 menghimpunkan komuniti perniagaan, agensi berkaitan dan pemain industri bagi memperkukuh kerjasama serta memperluas peluang pertumbuhan perniagaan usahawan tempatan.
Turut hadir, Pengerusi PUNB Tan Sri Rastam Mohd Isa, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Dato Sri Mohd Naroden Majais dan Setiausaha Tetap MINTRED Datu Lester Matthew. -EDISI UKAS