Naik Taraf Venue Sukan SEA 2027 Dijangka Siap Sepenuhnya Jun Tahun Depan
KUCHING: Kerja-kerja menaik taraf kemudahan dan venue bagi penganjuran Sukan SEA 2027 di Sarawak dijangka disiapkan sepenuhnya menjelang Jun 2027 bagi memberi ruang kepada pelaksanaan ujian operasi sebelum temasya sukan itu berlangsung pada September.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tempoh berkenaan ditetapkan bagi memastikan semua kemudahan berada dalam keadaan bersedia sebelum digunakan sepanjang temasya tersebut.
Menurut beliau, Stadium Sarawak yang merupakan antara venue utama sedang menjalani kerja-kerja naik taraf dan perkembangannya dilihat sedikit mendahului jadual asal.
“Stadium Sarawak, jika tidak silap saya, kini sedikit mendahului jadual bagi kerja-kerja naik taraf dan dijangka siap menjelang Januari tahun depan.
“Bagaimanapun, kebanyakan kemudahan lain yang sedang dinaik taraf perlu disiapkan selewat-lewatnya Jun 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada sidang media Sarawak Esports Expo 2026 (SAREX26) di pejabatnya pada Jumaat.
Jelasnya, tempoh antara Jun hingga September 2027 akan digunakan untuk melaksanakan ujian operasi terhadap semua kemudahan bagi mengenal pasti sebarang masalah teknikal termasuk pendawaian dan aspek lain sebelum temasya bermula.
Katanya, arahan supaya semua kerja naik taraf disiapkan menjelang Jun adalah penting bagi mengelakkan sebarang masalah pada saat akhir yang boleh menjejaskan kelancaran penganjuran Sukan SEA 2027.
Mengulas keyakinan terhadap jadual pelaksanaan projek, Dato Sri Abdul Karim berkata, pihaknya yakin semua kerja dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan memandangkan perkara itu telah ditekankan kepada kontraktor yang terlibat sejak awal pelaksanaan.
“Sebarang kelewatan bukan sahaja boleh menjejaskan imej negeri dan kementerian, malah Malaysia secara keseluruhannya.
“Jika kerja-kerja tidak disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan, kontraktor perlu bekerja siang dan malam bagi memastikan projek berkenaan dapat diselesaikan,” tegas beliau. - EDISI UKAS