Tiga sekolah di DUN Simanggang terima bantuan UNIFOR RM719,500
SRI AMAN: Tiga buah sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang menerima bantuan berjumlah RM719,500 daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi meningkatkan kemudahan dan prasarana pendidikan.
Penyerahan cek bantuan itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Simanggang di sini pada Jumaat.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Luke Sri Aman menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM400,000, diikuti Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Lawrence, Sabu sebanyak RM230,000 dan SK Saint Luke Sri Aman berjumlah RM89,500.
Cek bantuan berkenaan masing-masing diterima oleh Pengetua SMK Saint Luke Sri Aman, Limok Shem, Guru Besar SK Saint Lawrence, Sabu, Alfred Kendim dan Guru Besar SK Saint Luke Sri Aman, Madeline Nuli.
Dalam ucapan ringkasnya, Datuk Francis berharap ketiga-tiga sekolah terbabit dapat memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang disalurkan bagi menyediakan persekitaran pembelajaran lebih kondusif kepada pelajar.
“Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Sarawak melalui UNIFOR yang telah menaikkan peruntukan tahunan sekolah misi kepada RM30 juta bagi tahun ini.
“Langkah agresif ini bertujuan memastikan prasarana sekolah bukan Islam dan institusi pendidikan misi di seluruh negeri termasuk keperluan pendawaian fizikal serta fasiliti akademik terus terpelihara demi keselesaan para pelajar,” katanya.
Penyaluran bantuan berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan institusi pendidikan misi terus mendapat sokongan bagi memenuhi keperluan pembangunan prasarana sekolah.-EDISI UKAS