Jambatan Batang Lupar 2 Dibuka, Pacu Pembangunan Ekonomi Tempatan
SRI AMAN: Pembukaan Jambatan Batang Lupar 2 kepada orang awam mulai Sabtu menandakan satu lagi pencapaian pembangunan infrastruktur Sarawak, sekali gus membuka peluang baharu kepada pertumbuhan ekonomi, sektor pertanian dan industri pelancongan di Bahagian Sri Aman dan Betong.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jambatan itu merupakan jambatan ke-14 daripada keseluruhan 22 jambatan yang dibina oleh Kerajaan Sarawak menerusi peruntukan kira-kira RM7 bilion.
Menurut beliau, pembukaan jambatan berkenaan bukan sahaja meningkatkan jaringan perhubungan antara kawasan, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.
“Hari ini merupakan satu peristiwa bersejarah bagi kami di Sri Aman kerana mulai sekarang, Jambatan Batang Lupar 2 dibuka kepada orang awam dan boleh digunakan untuk perjalanan dari Sri Aman ke Betong serta kawasan utara Sarawak.
“Ini merupakan satu kebanggaan rakyat Sarawak dan kita harus berterima kasih kepada Premier Sarawak kerana berjaya mendapatkan dana bagi membina 22 jambatan dengan kos sekitar RM7 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan pra-pelancaran jambatan tersebut, di sini, pada Sabtu.
Jambatan sepanjang 145 meter itu, menurut beliau, merupakan jambatan tertinggi di Malaysia, manakala Jambatan Batang Lupar 1 pula merupakan jambatan merentasi sungai terpanjang di negara ini.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, jaringan jalan raya baharu tersebut berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi setempat, termasuk memudahkan penghantaran hasil pertanian dan produk makanan ke pasaran lebih luas.
Menurutnya, kemudahan pusat pembungkusan serta akses ke lapangan terbang turut membuka peluang kepada pengusaha tempatan untuk meningkatkan pemasaran produk masing-masing.
Pembukaan Jambatan Batang Lupar 2 dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan koridor pesisir Sarawak, khususnya dalam meningkatkan mobiliti penduduk, mempercepat urusan pengangkutan dan merancakkan kegiatan ekonomi di Sri Aman serta kawasan sekitarnya.-EDISI UKAS