POSKOM Permudah Akses Bantuan Kebajikan Penduduk Betong
DEBAK: Pelaksanaan Mini Program Outreach Santuni Komuniti (POSKOM) Bahagian Betong 2026 memudahkan golongan sasar, khususnya warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan keluarga berpendapatan rendah, mendapatkan maklumat serta perkhidmatan kebajikan tanpa perlu menempuh perjalanan jauh ke pusat perkhidmatan.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr. Mohammad Razi Sitam berkata, pendekatan turun padang itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperluas akses perkhidmatan kebajikan, terutama kepada masyarakat di kawasan luar bandar dan daerah kecil.
Menurut beliau, program berkenaan turut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bantuan yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain memastikan golongan yang layak tidak tercicir daripada menerima manfaat berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mini POSKOM Bahagian Betong 2026 di Rumah Snap, Sabar Asal, Debak, pada Sabtu.
Datuk Dr. Mohammad Razi berharap agar Mini POSKOM dapat menjadi platform bukan sahaja untuk masyarakat mendapatkan bantuan, malah sebagai ruang bagi penduduk menyampaikan pandangan serta keperluan sebenar komuniti kepada pihak jabatan berkaitan.
Beliau turut menyeru masyarakat agar membantu menyebarluaskan maklumat mengenai perkhidmatan JKM kerana masih terdapat individu yang layak menerima bantuan tetapi kurang mengetahui prosedur permohonan atau berasa segan untuk tampil mendapatkan bantuan.
Mengulas mengenai bantuan kebajikan di Bahagian Betong, beliau memaklumkan bahawa lebih 5,401 orang menerima bantuan bulanan kerajaan setakat Oktober 2026.
Jelasnya, daripada jumlah tersebut, seramai 1,067 orang menerima Bantuan Am Negeri, manakala bantuan di bawah Kerajaan Persekutuan melibatkan 2,325 penerima Bantuan Warga Emas, 591 penerima Bantuan Kanak-Kanak dan 265 penerima Bantuan Penjagaan Pesakit Kronik Terlantar.
Selain itu, seramai 957 orang menerima Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja, manakala 195 orang lagi menerima Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya.
Secara keseluruhannya, jumlah perbelanjaan bagi pembayaran bantuan bulanan kepada penerima di Bahagian Betong bagi tempoh sembilan bulan telah mencecah RM24,074,150.
Dalam pada itu, kerajaan turut menyediakan pelbagai inisiatif bantuan negeri termasuk Bantuan Ibu Bersalin, Bantuan Perubatan, Bantuan Alat Tiruan dan Sokongan, Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang, Bantuan Ihsan Kematian serta inisiatif terkini Manfaat Kesihatan Warga Emas (SCHB).-EDISI UKAS