Naik Taraf Paip Utama, Loji Baharu Perkukuh Bekalan Air Julau
JULAU: Penyelesaian gangguan bekalan air di sepanjang Jalan KJD menjadi antara fokus pembangunan infrastruktur air di Julau menerusi projek menaik taraf saluran paip utama yang sedang dilaksanakan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, langkah itu penting bagi meningkatkan keupayaan sistem pengagihan air, khususnya di kawasan yang berdepan masalah bekalan.
“Kita turut mengambil langkah menangani gangguan bekalan air yang membabitkan kawasan sepanjang Jalan KJD, termasuk Assan Nunggang, menerusi cadangan menaik taraf sistem saluran paip sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Loji Rawatan Air Julau di sini, pada Isnin.
Menurut Dato Sri Julaihi, projek berkenaan membabitkan penggantian paip keluli berlapis simen (MSCL) berdiameter 600 milimeter dari Persimpangan Bintangor hingga Stesen Penggalak KJD.
Kerja menaik taraf itu kini sedang berjalan dan dijadualkan selesai pada Disember 2026 bagi mempertingkat kecekapan pengagihan serta mengurangkan gangguan bekalan kepada penduduk.
Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri turut merancang pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti 30 juta liter sehari (JLH) menerusi Projek Bekalan Air Julau Pakej 2.
Dato Sri Julaihi berkata, cadangan pembangunan tersebut kini berada pada peringkat perancangan sebagai persediaan meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat di daerah berkenaan.
“Pembinaan loji baharu ini merupakan langkah jangka panjang bagi memastikan kapasiti pengeluaran air terawat dapat ditingkatkan seiring pertambahan penduduk dan perkembangan kawasan tersebut pada masa hadapan,” ujarnya.
Beliau berkata, perancangan berkenaan penting bagi memastikan keperluan bekalan air dapat ditampung secara berterusan, selaras dengan pertumbuhan dan pembangunan daerah Julau.
Tambahnya, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak akan terus memantau kemajuan projek infrastruktur air bagi memastikan setiap pelaksanaan memenuhi jadual serta sasaran ditetapkan.
Usaha berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan negeri memperkukuh kemudahan bekalan air, sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan kepada penduduk di kawasan bandar dan luar bandar.-EDISI UKAS