Loji Salim Diganda Kapasiti, RM300 Juta Tangani Permintaan Air Sibu
SIBU: Kapasiti pengeluaran Loji Rawatan Air Salim bakal meningkat dua kali ganda kepada 300 juta liter sehari menerusi projek naik taraf bernilai RM300 juta bagi memenuhi permintaan bekalan air yang semakin meningkat di bahagian Sibu.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, peningkatan daripada kapasiti sedia ada 150 juta liter sehari itu penting memandangkan loji berkenaan kini beroperasi tanpa margin rizab yang mencukupi.
"Kerajaan Sarawak dibawah pimpinan Premier Sarawak merasakan perlu tampil dengan peruntukan besar untuk menaik taraf Loji Rawatan Air Salim.
“Keseluruhan kosnya RM300 juta menggunakan bajet kerajaan Sarawak sendiri dan kerja naik taraf ini merupakan yang terbesar bagi sebuah loji rawatan air di Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sistem Rawatan Air Segera (Acute Water Treatment System) Rantau Panjang di sini, pada Selasa.
Menurutnya, projek berkenaan merupakan kerja naik taraf loji rawatan air tunggal terbesar yang dilaksanakan di Sarawak dan dijangka siap pada awal tahun hadapan.
“Peningkatan kapasiti ini akan membantu memenuhi keperluan bekalan air di kawasan perumahan, kampung, rumah panjang serta kawasan industri yang terus berkembang,” katanya.
Selain di Sibu, usaha memperkukuh bekalan air di wilayah tengah Sarawak turut melibatkan pembangunan beberapa loji rawatan air lain termasuk di Kanowit, Song dan Kapit.-EDISI UKAS