Bandar Baharu Sebuyau Tawar 235 Lot Kediaman, Komersial
SEBUYAU: Pembangunan Bandar Baharu Sebuyau yang merangkumi 235 lot kediaman serta komponen komersial bakal mewujudkan penempatan lebih tersusun, di samping membuka ruang pertumbuhan ekonomi baharu bagi masyarakat setempat.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek yang dilaksanakan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) itu turut mengintegrasikan elemen tenaga boleh baharu apabila 50 daripada 100 unit rumah dalam Fasa 1 akan dilengkapi panel solar.
“Pembangunan berkenaan mencerminkan usaha memperluas penyediaan kemudahan kediaman yang lebih selesa, selain mewujudkan persekitaran yang menyokong aktiviti perniagaan dan ekonomi tempatan.
“Setakat 25 Oktober 2026, kemajuan fizikal Fasa 1 mencapai 44 peratus dan projek itu dijangka siap pada Mei 2028,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan, di sini pada Khamis.
Difahamkan, rumah dua tingkat berkonsepkan LCDA Sapphire itu mempunyai keluasan lantai 871.87 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air, selain menyediakan pilihan pembesaran kepada 1,162.50 kaki persegi atau 1,356.25 kaki persegi mengikut keperluan penghuni.
Menurut kenyataan yang sama, pelan induk pembangunan yang diluluskan turut merangkumi 65 unit rumah kedai dua tingkat dan 80 unit rumah kedai tiga tingkat, sekali gus menyediakan ruang lebih luas untuk aktiviti perniagaan dan komersial.
Rumah kedai dua tingkat menggabungkan ruang perniagaan dan kediaman, manakala unit tiga tingkat turut menyediakan ruang pejabat bagi memenuhi keperluan pelbagai jenis aktiviti komersial.
Turut hadir, Pengurus Besar LCDA, Datu Sr Zaidi Zaidi, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Abdullah Julaihi, Ketua Pegawai Eksekutif LCDA Real Estate Sdn Bhd, Sr Hardi Fadillah Hamzah dan Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang. -EDISI UKAS